MAKKAH, 4 Jun (Bernama-SPA) -- Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi memaklumkan bahawa semua jemaah yang mengambil bahagian dalam Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci bagi Haji, Umrah dan Ziarah kini selamat tiba di Makkah dan ditempatkan di penginapan rasmi.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), seramai 2,443 jemaah dari 100 negara tiba dan menunaikan ibadah umrah dalam suasana yang tenang, lancar dan penuh ketenteraman.
Mereka turut melahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini, berpeluang mengunjungi Dua Masjidil Haram serta meneroka lokasi bersejarah, tapak arkeologi, muzium dan pameran yang dirangka untuk memperkayakan pengalaman rohani mereka.
Para jemaah menzahirkan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud serta Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud atas jemputan dan layanan yang diberikan bagi menunaikan ibadah haji.
-- BERNAMA-SPA