AM

Projek Mega: Kerajaan Pulau Pinang Jamin Pengurusan Aliran Trafik Berkesan

03/06/2025 08:23 PM

GEORGE TOWN, 3 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan bahawa langkah pengurusan trafik secara berkesan akan dilaksanakan bagi memastikan gangguan kepada pengguna jalan raya dapat diminimumkan sepanjang tempoh pembinaan projek mega yang bakal dimulakan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara projek yang dijangka memberi kesan kepada aliran trafik ialah Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru–Sungai Dua.

Bagaimanapun, katanya kesesakan yang berlaku adalah sebahagian daripada proses pembangunan yang tidak dapat dielakkan.

“Beberapa tahun lalu, semasa pasukan kami melawat Gamuda di Kuala Lumpur yang ketika itu sedang melaksanakan projek LRT, kami diperkenalkan dengan pelbagai strategi pengurusan trafik dan program khas yang mereka laksanakan semasa fasa pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dalam Sesi Dialog Tahunan Cawangan Utara 2025 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) yang turut dihadiri Pengerusi MICCI Cawangan Utara, Datuk Brian Tan Guan Hooi serta lebih 200 wakil industri di sini, hari ini.

Menurut Chow, projek LRT Pulau Pinang dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini dengan tempoh pembinaan antara enam hingga tujuh tahun, manakala projek lebuh raya bertingkat dijadual bermula hujung tahun ini.

Katanya pelaksanaan projek-projek itu akan dapat dijalankan dengan baik sekiranya pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan bersabar sepanjang tempoh pembinaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt tahun lepas, mengumumkan beberapa projek pembangunan utama di negeri ini termasuk LRT Laluan Mutiara, Lebuhraya Bertingkat Juru–Sungai Dua, perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.

Projek LRT sepanjang 29.5 kilometer itu akan merangkumi 21 stesen di lokasi strategik dan dijangka dapat meningkatkan sistem pengangkutan awam antara pulau dan tanah besar.

Sementara itu, Chow memaklumkan bahawa kerja-kerja penambakan laut berjalan lancar dengan 60.71 hektar tanah telah ditebus guna dalam tempoh 18 bulan lalu.

Katanya kerajaan negeri kini menunggu pengumuman daripada kerajaan Persekutuan berhubung pakej insentif kepada bakal pelabur dan pembeli tanah untuk tujuan pembangunan industri.

Projek PSI atau dikenali sebagai Silicon Island merupakan projek tambakan laut seluas 930.78 hektar yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430440