KOTA BHARU, 3 Jun (Bernama) -- Demi cinta yang berputik melalui aplikasi media sosial, dua pelajar perempuan berusia 14 tahun sanggup meredah perjalanan lebih 500 kilometer menaiki motosikal dari Tumpat, Kelantan ke Kulim, Kedah, semata-mata untuk bertemu seorang lelaki yang tidak pernah mereka temui sebelum ini.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pertemuan pertama itu, bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mendakwa menjadi mangsa rogol.
Beliau berkata mangsa dipercayai mengenali lelaki berusia lingkungan 30-an itu melalui aplikasi berkenaan, sebelum diundang untuk bertemu di Kulim.
“Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira tiga bulan lepas. Kedua-dua remaja tersebut menaiki motosikal ‘kapcai’ dari Tumpat, namun motor itu mengalami kerosakan di Grik, Perak. Mereka kemudian meninggalkan motosikal itu di tepi jalan dan menahan sebuah kereta untuk menumpangnya ke Kulim.
“Sebaik tiba di Kulim, mangsa telah dibawa berjumpa dengan suspek lelaki dan membawanya ke sebuah lokasi sebelum dipercayai dirogol,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Perbincangan Dialog Awam Ketua Polis Kelantan Tahun 2025 bertajuk “Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan” di Universiti Malaysia Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata remaja perempuan terbabit sebelum ini dilaporkan hilang selama empat hari sebelum pulang ke rumah.
“Hasil siasatan dan desakan keluarga akhirnya mendorong mangsa untuk mendedahkan kejadian sebenar, termasuk perjalanan mereka, pertemuan dengan suspek dan insiden yang berlaku.
“Susulan pendedahan itu, satu laporan polis dibuat oleh keluarga selepas pemeriksaan hospital mengesahkan terdapat kesan rogol pada tubuh mangsa,” katanya.
Mohd Yusoff menambah bahawa suspek lelaki telah pun ditahan oleh pihak polis di Kedah bagi membantu siasatan.
Beliau menasihatkan ibu bapa agar lebih berwaspada terhadap pergerakan anak-anak serta memantau penggunaan aplikasi media sosial yang semakin menjadi platform pergaulan bebas tanpa kawalan.
-- BERNAMA