EKONOMI

Scam Jejas Pasaran Motosikal Terpakai Di Malaysia

04/06/2025 12:13 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Pasaran motosikal terpakai di Malaysia terus bergelut dengan isu kepercayaan kerana pembeli menghadapi risiko penipuan yang semakin meningkat dan tiada ketelusan dalam urus niaga.

Ketua Pegawai Eksekutif iMotorbike.com, Gil Carmo berkata berbeza berbanding segmen kereta terpakai, pasaran jualan semula motosikal sebahagian besarnya kekal tidak formal dan selalunya beroperasi tanpa sistem pemeriksaan atau pensijilan.

“Iklan dalam talian dan media sosial membolehkan akses mudah kepada pembeli, pada masa sama scammer (penipu) boleh menyiarkan iklan menarik, kadangkala berharga di bawah nilai pasaran untuk menjerat mangsa.

“Ketiadaan penjual yang boleh dikesan dan platform formal membolehkan penipuan (scam) seperti itu berlaku secara berterusan dan tanpa bilik pameran fizikal atau akauntabiliti, ia menjadi sukar untuk mengambil tindakan apabila pembeli ditipu,” katanya kepada Bernama.

Carmo menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran pembeli, antara tanda-tanda penipuan ialah penjualan tanpa waranti atau polisi pemulangan, penjual yang sah (bermajikan atau syarikat berdaftar) dan harga kelihatan menarik.

“Walaupun usaha sedang dijalankan oleh sesetengah penggiat pasaran untuk memperkenalkan pemeriksaan berstruktur, dokumentasi yang disahkan dan perlindungan selepas jualan, masih terdapat ruang untuk industri mempertingkatkan perlindungan pembeli dan ketelusan keseluruhan.

"Pembeli perlu ketenangan fikiran untuk membeli dan mendapat harga jualan terbaik, jika ia tidak diamalkan oleh penjual, isu kepercayaan akan kekal sebagai halangan terbesar," katanya.

Gil Carmo berkata beberapa penipuan yang kerap berlaku di pasaran termasuk gangguan terhadap odometer untuk mendapatkan harga jualan tinggi atas sebab jumlah jarak perjalanan motosikal itu rendah, amalan yang terus memerangkap pembeli.

“Penipuan lain termasuk pengubahsuaian haram, dokumen pemilikan palsu dan penjual yang menghilangkan diri selepas menerima bayaran pendahuluan.

“Motosikal dijual mungkin mempunyai pelbagai masalah atau status pembiayaan yang tidak dapat diselesaikan, pembeli akan menyedarinya apabila cuba melakukan pemindahan pemilikan,” katanya.

Untuk mengurangkan risiko sedemikian, Carmo berkata syarikatnya telah melaksanakan beberapa langkah termasuk pemeriksaan 170 mata (pemeriksaan setiap bahagian) oleh mekanik iMotorbike.com, pengesahan dokumen undang-undang, dan polisi pemulangan enam hari dengan jaminan enam bulan.

"Langkah-langkah ini bertujuan untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pembeli. Kami juga memastikan ketelusan penuh dengan hanya menggunakan foto dan video diambil oleh syarikat untuk penyenaraian (penjualan).

“Selain itu, kami menggalakkan memandu uji motosikal terlebih dahulu supaya pembeli mengetahui keadaan motosikal berkenaan dengan lebih tepat," katanya.

iMotorbike adalah platform dalam talian Asia Tenggara yang memudahkan pembelian dan penjualan motosikal terpakai, menawarkan perkhidmatan seperti pemeriksaan, jaminan dan pembiayaan untuk memastikan pengalaman urus niaga selamat dan telus.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan bahawa jumlah kerugian daripada jenayah komersial tahun lepas berjumlah RM3.11 bilion dengan 41,701 kertas siasatan telah dibuka.

Menurut bekas Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata penipuan merupakan jenayah paling kerap berlaku dengan 73,240 kes mengakibatkan kerugian melebihi RM2.45 bilion.

Daripada jumlah tersebut, penipuan dalam talian menyumbang 35,368 kes membabitkan kerugian RM1.57 bilion seperti dilaporkan Bernama sebelum ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430280