DUNIA

Semakin Ramai Pelancong Asing Tiba Di China Dengan Kapal Persiaran

02/06/2025 06:52 PM

XIAMEN, 2 Jun (Bernama-CMG) -- Kapal persiaran Regatta yang membawa 620 penumpang berlabuh di pelabuhan Xiamen pada Ahad, menandakan pelayaran sulungnya ke bandar pelabuhan terkenal di tenggara China itu.

Kehadiran pelancong, kebanyakannya warga Amerika Syarikat dan Kanada menjadikannya kumpulan pelawat asing terbesar yang diterima pelabuhan Xiamen tahun ini.

Setibanya di pos pemeriksaan imigresen Gaoqi, para pelancong disambut meriah dengan suasana sambutan Pesta Duanwu yang kaya dengan elemen kebudayaan tradisional China. 

Mereka dilaporkan teruja melihat pelbagai hiasan berwarna-warni dan menyifatkannya sebagai "mengagumkan".

Sebagai sebahagian daripada sambutan, para pelancong turut menerima cenderahati unik seperti uncang wangi dan gelang anyaman berwarna-warni, selain diberi penerangan mengenai sejarah dan makna Pesta Duanwu.

Menurut laporan, lebih 95 peratus penumpang Regatta merupakan warganegara asing dari 23 buah negara.

Selepas menikmati lawatan selama sehari di Xiamen, kumpulan pelancong itu akan meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya iaitu Hong Kong.

Difahamkan, satu lagi kapal persiaran antarabangsa, Westerdam turut dijadualkan singgah di Xiamen tahun ini, yang kini menjadi antara pelabuhan utama yang mempromosikan kebudayaan China kepada dunia luar.

Sementara itu, pelabuhan Xiamen juga mencatatkan peningkatan aktiviti pelayaran, dengan 27 pelayaran kapal persiaran telah berlepas menuju ke negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Filipina dan Vietnam.

Dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan, China turut memperluaskan dasar bebas visa kepada lebih banyak negara. 

Terbaharu, pemegang pasport biasa dari Brazil, Argentina, Chile, Peru dan Uruguay diberikan kemudahan bebas visa untuk tempoh antara 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026.

Langkah pelonggaran visa ini dijangka meningkatkan kemasukan pelancong asing, seiring dengan matlamat China untuk memperkukuh sektor pelancongan dan diplomasi rakyat.

-- BERNAMA-CMG

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430066