AM

PVATM Di Landasan Tepat Perluas Ekosistem Perniagaan Seluruh Negara

01/06/2025 08:36 PM

SEREMBAN, 1 Jun (Bernama) -- Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) berada di landasan tepat untuk memperluas pembangunan ekosistem perniagaan mereka di seluruh negara dalam masa terdekat, kata Presidennya Datuk Sharuddin Omar.

Beliau berkata ia susulan kemajuan perniagaan berasaskan ayam persatuan itu di Pusat Perniagaan Paroi, di sini yang berjaya mencapai tahap 10 peratus dalam tempoh lima bulan sekali gus menjadi penanda aras kepada pelaksanaan projek sama di 13 negeri lain selepas ini.

“Walaupun capai 10 peratus, saya bangga kerana kita berjaya wujudkan ekosistem perniagaan berasaskan ayam itu dan jualan termasuk melalui platform dalam talian iaitu Redsoga. Ia juga merupakan gambaran apa yang kita mahu buat untuk 13 negeri lain nanti, Pusat Perniagaan Paroi ini menjadi perintis.

“Bila asasnya sudah ada, pergerakan akan lebih laju (di negeri lain) sebab kita sudah ada keyakinan. Berbeza dari kita bermula agak sukar dan ambil masa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan sebuah kafe milik PVATM di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama semua pihak terutama kerajaan amat diperlukan dalam memastikan kejayaan dan kelangsungannya sekali gus memberi manfaat yang lebih besar kepada ahli veteran, keluarga serta masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Sharuddin berkata ahli persatuan itu sebelum ini mungkin kurang terlibat dan tiada pendedahan dalam bidang perniagaan dan ia perlu diubah berdasarkan kemajuan semasa bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kita perlu bergerak untuk membina dan memupuk ekosistem ekonomi dalam kalangan veteran, memang satu cabaran, tetapi saya mengambil tanggungjawab untuk merangka kaedah yang lebih sesuai. Kini, hasilnya mula menunjukkan peningkatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429867