JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Suspek Kes Serangan Asid Boleh Dipanggil Semula Untuk Siasatan

01/06/2025 03:09 PM

KOTA BHARU, 1 Jun (Bernama) -- Dua individu dipercayai terlibat dalam kes serangan asid terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, Bachok pada 17 Mei lepas boleh dipanggil semula untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata wanita berusia 38 tahun dan lelaki berumur 45 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 28 Mei lepas.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai masih berada di negeri ini.

“Polis juga belum menerima laporan lengkap daripada Jabatan Kimia dan Makmal Forensik berkaitan cecair dipercayai asid yang digunakan dalam serangan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 17 Mei lepas, seorang peniaga wanita disimbah sejenis cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali ketika berada berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang.

Mangsa yang melecur pada bahu, belakang badan, lengan serta kaki kini dalam keadaan stabil dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429767