DUNIA

Ancaman Digital Kini Antara Kebimbangan Utama Keselamatan Negara Indonesia

01/06/2025 02:24 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 1 Jun (Bernama) -- Ruang siber kini menjadi domain kritikal dalam pertahanan negara Indonesia dan kerjasama lebih kukuh diperlukan bagi melindungi kedaulatan digital negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Hafid.

Beliau berkata ancaman terhadap kedaulatan negara semakin banyak berpunca daripada domain digital, bukan sekadar melalui darat, laut atau udara, selaras dengan peningkatan serangan siber dan penyebaran maklumat palsu dalam talian.

“Ruang siber adalah nadi pertahanan moden kita. Melindunginya bermakna kita menjamin masa depan negara,” semasa menyampaikan syarahan umum di Institut Ketahanan Nasional (Lemhannas), menurut kenyataan kementeriannya.

Antara insiden berprofil tinggi yang dibangkitkan Meutya ialah serangan perisian tebusan ke atas Bank Syariah Indonesia pada Jun 2024 oleh kumpulan LockBit 3.0, yang menuntut bayaran sebanyak US$20 juta dan menjejaskan perkhidmatan kepada 15 juta pelanggan.

Beliau turut memberi amaran mengenai bahaya berita palsu dalam talian—termasuk maklumat salah, maklumat yang dimanipulasi, dan maklumat yang disalahguna—yang menurutnya boleh menggugat perpaduan negara, mencetuskan ketegangan politik dan melemahkan kepercayaan rakyat.

“Ini bukan sekadar gangguan digital; ia mampu mengancam asas ideologi dan sosial masyarakat kita,” katanya. 

Beliau menekankan bahawa pelaburan dalam infrastruktur keselamatan digital adalah keperluan mendesak.

Bagi menangani cabaran itu, kementerian memperkenalkan beberapa peraturan utama termasuk Peraturan Pemerintah No. 17 Tahun 2025 mengenai Tadbir Urus Sistem Elektronik untuk Perlindungan Anak, Undang-Undang No. 1 Tahun 2024 yang menyemak semula Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik, serta Peraturan Presiden No. 47 Tahun 2023 mengenai Strategi Keamanan Siber Nasional.

Namun, Meutya menegaskan bahawa peraturan semata-mata tidak mencukupi dan menyeru para pemimpin dalam perkhidmatan awam, ketenteraan dan polis agar menerajui usaha literasi digital di semua institusi kerajaan.

Indonesia dilaporkan mencatat peningkatan ketara dalam ancaman siber sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seiring dengan transformasi digital yang pesat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429724