KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki warga Taiwan yang membuka makmal memproses cecair vape mengandungi dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Brickfields di sini Rabu lepas dengan rampasan bernilai RM3.29 juta.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata serbuan pada 10.30 malam itu menemukan 20 bekas plastik (jelly can) 5 liter dan enam botol plastik 0.5 liter berisi cecair vape amphetamine.
Beliau berkata pelbagai peralatan turut ditemui seperti mesin pengadun, mesin pemanas, alat penimbang, mesin pengedap, tiga bikar kaca, satu corong plastik serta 95 kartrij kosong dipercayai untuk mengisi cecair itu.
“Hasil analisis teknikal awal mendapati sindiket ini dipercayai memproses cecair vape mengandungi amphetamine (fluoroamphetamine, paramethoxyamphetamine) yang memberi kesan psikoaktif dan toksik sama seperti ekstasi kepada penggunanya.
“Kesan buruk pengambilan adalah sawan, kegagalan fungsi hati, suhu badan melampau, psikosis, kerosakan otak, gangguan emosi, ketagihan melampau malah kematian mengejut akibat serangan jantung atau kegagalan pernafasan,” katanya dalam sidang media JSJN di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Mohd Salahuddin berkata kedua-dua suspek berumur 30 dan 35 tahun itu berperanan sebagai ahli kimia dan mereka mendapatkan bahan dadah tersebut daripada China.
Beliau berkata bagi memastikan aktiviti mereka tidak dikesan, sindiket menjadikan kondominium yang mempunyai kawalan keselamatan lengkap sebagai tempat memproses dan membungkus bahan terlarang itu.
“Tempat kejadian ini disewa dengan harga RM4,100 sebulan dan dipercayai mereka ini menukar tempat memproses setiap tiga bulan sekali bersama ahli kimia yang dibawa masuk dari Taiwan dan pekerja yang direkrut daripada warga tempatan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kedua-dua suspek turut berperanan menjaga tempat memproses cecair vape dan menghantarnya kepada pelanggan. Mereka masuk ke negara kita menggunakan pas lawatan sosial dan telah memasuki negara sebanyak dua kali iaitu awal tahun ini dan awal bulan ini,” katanya.
Beliau berkata cecair vape dadah amphetamine itu dijual ke pasaran tempatan dengan harga RM180 per kartrij dan luar negara sekitar RM400 per kartrij.
Menurut Mohd Salahuddin hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah namun memiliki rekod jenayah lampau di negara asal mereka.
“Kita telah membuat semakan rekod lampau terhadap kedua-dua suspek ini melalui kerjasama kita dengan pihak Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) dan Criminal Investigation Bureau of Taiwan bagi mengesan rekod lampau mereka di negara mereka dan membantu siasatan penuh kes ini.
“Hasil mendedahkan suspek pertama pernah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah manakala suspek kedua mempunyai pelbagai rekod jenayah antaranya bunuh, pengedaran dadah dan juga senjata api,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah motosikal Honda AFS125 milik suspek pertama bernilai RM7,000.
-- BERNAMA