KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas dipercayai dirempuh sebuah lori dalam kejadian di hadapan Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.36 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Nissan UD yang telah melanggar sebuah motorsikal dan merempuh gerai penjaja serta pagar masjid.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 30 tahun yang ditemukan tersepit di bawah lori dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mangsa berjaya dikeluarkan pada 1.44 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA