PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah hari ini menegaskan tiada penglibatan pegawai agensi itu dalam kegiatan penipuan pesanan kerajaan (LO) seperti aduan yang diterima baru-baru ini.
Rosli menerusi kenyataan berkata Maritim Malaysia tidak pernah melantik mana-mana pihak secara tidak rasmi untuk urusan pembekalan tanpa melalui prosedur yang sah dan ditetapkan kerajaan.
“Orang ramai dan pembekal diingatkan agar berwaspada serta tidak mudah terperdaya dengan LO yang mencurigakan.
“Sebarang dokumen LO yang diterima hendaklah disemak dan disahkan terlebih dahulu dengan pihak Maritim Malaysia,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya terdapat sebarang cubaan penipuan atau penggunaan nama pegawai Maritim Malaysia tanpa kebenaran.
Katanya orang ramai juga dinasihatkan agar melayari portal rasmi Maritim Malaysia di www.mmea.gov.my dan akaun media sosial rasmi untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini agensi itu.
-- BERNAMA