EKONOMI

ASEAN-BAC Tubuh Persatuan Pasaran Persendirian ASEAN Pada Akhir Tahun - Nazir Razak

29/05/2025 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dalam proses menubuhkan Persatuan Pasaran Persendirian ASEAN, dijangka dimuktamadkan akhir tahun ini.

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak berkata sebuah jawatankuasa pro tem terdiri daripada ahli dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia sedang berusaha ke arah penubuhan secara rasmi persatuan itu.

“Ideanya untuk mewujudkan satu platform yang menasihati kerajaan dalam memperkukuh dasar bagi membangunkan industri pasaran persendirian termasuk modal teroka dan ekuiti persendirian di ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Forum Perniagaan ASEAN 2025 di sini hari ini.

Nazir berkata persatuan itu boleh membantu mengatasi isu perbezaan dalam pasaran dan memacu pembangunan industri itu di rantau ini.

“Kami menganggarkan modal sehingga US$60 bilion (US$1 = RM4.26) perlu disalurkan kepada ekuiti persendirian ASEAN dan dana teroka tetapi pembaharuan tertentu diperlukan untuk mengurangkan perbezaan dalam pasaran dan menambah baik keadaan untuk pengewangan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata majlis itu telah menjalankan satu laporan kajian bersama McKinsey, yang menunjukkan pasaran persendirian ASEAN belum berkembang sepenuhnya, dianggarkan hanya sebanyak 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding purata penanda aras global sebanyak 1.5 peratus daripada KDNK.

“Laporan itu menunjukkan industri pasaran persendirian amat penting kepada ekonomi tetapi masih terlalu kecil di ASEAN,” katanya.

Nazir berkata ASEAN berada pada detik yang penting dan berharap rantau ini dapat bergerak ke hadapan dengan integrasi ekonomi.

“Tahun ini di ASEAN-BAC, keutamaan dan aktiviti kami telah dirangka dengan teliti untuk memahami peluang dan cabaran semasa yang dihadapi.

“Kami berusaha memudah cara dialog, menjalin kerjasama dan mengemukakan cadangan yang boleh dilaksanakan untuk memperkasakan perniagaan ASEAN bagi memanfaatkan kerjasama antara rantau yang berkembang serta menerajui dalam menerima pakai teknologi terkini dan amalan mampan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428789