KOTA KINABALU, 29 Mei (Bernama) -- Dua maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke gaung di Kampung Moyog, Penampang dekat sini, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.15 malam dan sembilan anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Binghorn yang terbabas sendiri sebelum terjatuh dalam gaung.
“Pasukan bomba bertindak menaikkan semua mangsa yang berada di dalam gaung,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah memberikan rawatan awal kepada seorang mangsa cedera sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Dua lagi mangsa lelaki masing-masing berusia 40 dan 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM). Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA