KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- RHB Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM750.03 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025 berbanding RM730.17 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Peningkatan tahun ke tahun itu terutamanya disumbangkan oleh pendapatan pembiayaan bersih yang lebih tinggi dan peruntukan kerugian kredit yang lebih rendah, namun diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang rendah, perbelanjaan cukai yang tinggi, peningkatan perbelanjaan operasi, dan kerugian lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.
Hasil, bagaimanapun, merosot kepada RM4.39 bilion daripada RM4.40 bilion pada suku pertama 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, RHB Bank berkata pendapatan bersih berasaskan dana melonjak sebanyak 7.3 peratus kepada RM1.48 bilion tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan kasar sebanyak 6.3 peratus.
Kumpulan itu berkata pinjaman dan pembiayaan kasar yang meningkat kepada RM239.2 bilion itu dipacu oleh pertumbuhan dalam segmen perumahan, korporat, komersial dan pembiayaan kenderaan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata syarikat mengekalkan momentum pertumbuhan pendapatan bagi suku pertama, berlandaskan asas yang kukuh dan kemajuan awal daripada pelan strategik tiga tahun kumpulan, PROGRESS27.
“Usaha pengoptimuman kos kami mula menunjukkan hasil, membolehkan kami mengawal perbelanjaan sambil memacu pertumbuhan dalam segmen utama.
“Pada masa yang sama, tumpuan berterusan kami terhadap kualiti aset telah mengurangkan kos kredit. Kami kekal berdisiplin dalam pelaksanaan, memperkukuh keupayaan teras, mempertingkat kecemerlangan operasi, dan meneroka peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Mengenai prospek, kumpulan itu mengekalkan pendekatan berhati-hati dalam persekitaran makroekonomi yang terus berkembang, dipengaruhi oleh pergerakan kadar faedah dan kedinamikan perdagangan global.
“Pengurangan kadar keperluan rizab berkanun (SRR) oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini dijangka menyediakan fleksibiliti pembiayaan bagi suku-suku akan datang.
“Dengan keutamaan pelaksanaan yang jelas, daripada mempermudah pengalaman pelanggan hingga memperkukuh agenda kemampanan, kami berada dalam posisi yang baik untuk menjana nilai jangka pendek sambil meneroka potensi nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan,” kata beliau.
-- BERNAMA