EKONOMI

Sarawak Pertimbang Potensi Projek Rintis Perlombongan Emas Di Bau

28/05/2025 01:23 PM

KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak dalam proses menilai potensi perlombongan emas di Bau, dekat sini susulan daripada penemuan baharu deposit emas di kawasan berkenaan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata kerajaan negeri mempertimbangkan pelaksanaan projek perintis di kawasan tanah lombong itu yang berkeluasan kira-kira 5.281 hektar di bawah Dasar Pembangunan Industri Mineral dan Pengkuarian Sarawak. 

“Sebagai usaha dalam memperkasakan industri perlombongan dan pengkuarian, kerajaan Sarawak kini sedang merangka dasar yang lebih komprehensif dan memberi fokus kepada kaedah perlombongan berteknologi tinggi serta mampan bagi mengurangkan impak ke atas alam sekitar.

“Projek perintis ini penting bagi menentukan kebolehlaksanaan projek serta kawalan dan mengurangkan impak projek sebelum perlombongan secara komersial dipertimbangkan,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata sistem digital dikenali sebagai Sarawak Minerals Information System (SMIS) juga dicadangkan untuk dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan sumber mineral dan batuan di Sarawak.

Menyentuh mengenai pembangunan modal insan industri berkenaan, Awang Tengah berkata kira-kira 1,400 peluang pekerjaan baharu pelbagai tahap dan bidang dikenal pasti bagi industri perlombongan huluan dan pengkuarian di negeri ini. 

“Kerajaan Sarawak melalui Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) akan terus menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar lepasan sekolah atau universiti bagi mengisi keperluan tenaga kerja berkenaan.

“Selain itu, Kerajaan Sarawak juga sedang berusaha untuk mengadakan kerjasama dengan University of British Columbia (UBC), Kanada bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan serta teknologi perlombongan selain melahirkan tenaga kerja profesional dalam industri ini,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428338