KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kuasa Usaha Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya melakukan lawatan kerja selama empat hari ke Brazzaville, ibu negara Republik Congo, bermula Sabtu (24 Mei) bagi bertemu rakyat Malaysia dan mengukuhkan hubungan dua hala.
Misi diplomatik Dr Mohamad Rameez turut merangkumi Angola, Republik Demokratik Congo (Kinshasa), dan Republik Congo.
Dalam satu kenyataan pada Rabu (28 Mei), Mohamad Rameez berkata beliau tiba di Brazzaville awal pagi Ahad dan meneruskan perjalanan beberapa jam kemudian ke Pointe Noire, terletak kira-kira 580 kilometer atau lapan jam pemanduan dari ibu negara.
Setibanya di sana, beliau bertemu dengan Kong Ing Yee, seorang rakyat Malaysia dari Sarawak yang telah berhijrah ke Congo 25 tahun lalu untuk menubuhkan perniagaan perabot dan kayu dikenali sebagai Taman Industries Ltd.
Syarikat Taman Industries yang berpangkalan di Hida, berhampiran Pointe Noire kini menggaji lebih 400 pekerja, majoritinya rakyat Malaysia.
Semasa pertemuan dengan Kong yang juga merupakan Ketua Pengarah syarikat itu, Dr Rameez turut disambut beberapa rakyat Malaysia.
“Mereka turut berbincang mengenai kebajikan dan perkembangan perniagaan syarikat,” katanya.
Syarikat berkenaan mengeksport terutamanya produk kayu siap ke Eropah dan blok binaan ke China.
Menurut kenyataan itu, Mohamad Rameez juga mengambil peluang membantu beberapa rakyat Malaysia di sana dalam urusan pembaharuan pasport.
Beliau turut bekerjasama dengan pihak pengurusan Taman Industries bagi menguruskan urusan pengebumian seorang rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Pointe Noire baru-baru ini.
Beliau kemudiannya kembali ke Brazzaville, dan mengadakan pertemuan rasmi dengan Konsul Kehormat Malaysia yang baharu dilantik ke Republik Congo, Claide Ngayino pada Isnin bagi membincangkan usaha memperbaiki proses permohonan visa agar lebih ramai warga Congo dapat melawat Malaysia.
Program diteruskan dengan pertemuan bersama Duta Besar Tsoula Adrian, Ketua Pengarah Kementerian Hubungan Luar dan Hal Ehwal Diaspora Republik Congo, bagi membincangkan hubungan dua hala semasa antara Malaysia dan negara itu.
Perbincangan turut menyentuh hasrat menteri berkenaan untuk mengadakan lawatan ke Malaysia, sekali gus menggalakkan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.
Pada sebelah petang, Mohamad Rameez turut mengadakan kunjungan hormat ke atas seorang lagi pegawai kanan Kementerian Kerjasama Antarabangsa, yang bertanggungjawab terhadap pemeteraian perjanjian antarabangsa.
Pertemuan dengan Duta Besar Simeon Ewongo, yang juga Setiausaha Tetap dan Timbalan Menteri Kerjasama Antarabangsa memberi tumpuan kepada beberapa perjanjian yang masih tertangguh dan berpotensi memperkukuh perdagangan serta pelaburan dua hala.
Lawatan kerja berakhir pada Selasa dengan kepulangan beliau ke Windhoek, Namibia.
-- BERNAMA