AM

Kepelbagaian Ahli Bantu Tambah Keberkesanan JKmR Pantau SPRM

28/05/2025 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Kepelbagaian latar belakang dan kepakaran yang dimiliki oleh ahli Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR) secara bipartisan akan memberi nilai tambah kepada keberkesanan jawatankuasa berkenaan.

Pengerusi JKmR Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata ia juga mampu meningkatkan kredibiliti Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan dikemukakan kelak.

Beliau berkata JKmR, yang berfungsi memantau SPRM, turut kekal komited untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dalam memastikan pelaksanaan mandat agensi itu dijalankan secara telus, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh.

“JKmR dan SPRM perlu menghormati bidang kuasa masing-masing, komited pada objektif bersama dan mengutamakan ketelusan agar kepercayaan umum terhadap tadbir urus negara dapat dipertahankan,” katanya pada mesyuarat bersama pengurusan tertinggi agensi antirasuah itu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Turut serta pada mesyuarat itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) agensi antirasuah berkenaan Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya serta pengarah kanan dan pengarah bahagian yang lain.

Semasa mesyuarat itu, ahli JKmR turut memberikan beberapa cadangan bagi meningkatkan kredibiliti SPRM dalam mempergiat usaha pencegahan rasuah antaranya melibatkan perincian strategi untuk meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah, meningkatkan persepsi masyarakat terhadap agensi berkenaan melalui pelbagai platform komunikasi dan langkah-langkah bagi menangani cabaran dalam pendakwaan kes rasuah.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428244