KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Energy Asia 2025, yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Bertemakan ‘Delivering Asia’s Energy Transition’, Anwar akan mengetuai delegasi para menteri Malaysia, yang akan disertai oleh rakan sejawat serantau, penggubal dasar, pemimpin industri dan profesional dalam sektor tenaga, serta pemimpin daripada komuniti teknologi, kewangan dan perindustrian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata selepas pelancaran Energy Asia, Anwar akan mengambil bahagian dalam sesi pleno pembukaan bertajuk ‘Asia’s Energy Future’, yang akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi S&P Global dan Pengasas CERAWeek Dr Daniel Yergin.
Sesi itu akan menumpukan kepada kesan dinamik geopolitik, pakatan strategik dan risiko, visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta peranan negara dalam peralihan tenaga Asia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas merangkap Pengerusi Energy Asia Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata Petronas amat percaya bahawa peralihan tenaga yang adil dan saksama hanya dapat dicapai melalui kerjasama global yang lebih erat merentas ekonomi dan industri.
“Sehubungan itu, kami berasa amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri ke edisi kedua persidangan ini, dengan peluang untuk terlibat dalam wacana progresif mengenai aspirasi beliau terhadap masa depan tenaga Asia yang mampan dan inklusif, selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.
Energy Asia oleh Petronas dan Rakan Kongsi Pengetahuan CERAWeek oleh S&P Global bertujuan untuk memajukan aspirasi sifar bersih rantau ini melalui penyelesaian yang boleh dilaksanakan bagi mencapai peralihan tenaga yang adil.
Persidangan kali ini akan menampilkan lebih daripada 180 penceramah terkemuka di seluruh dunia dan menarik lebih 4,000 delegasi dari lebih 50 negara.
Pemimpin industri yang akan berucap di Energy Asia termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Haitham al-Ghais; Presiden dan CEO Aramco Amin Nasser; Pengerusi dan CEO TotalEnergies Patrick Pouyanné; serta CEO PTT Exploration and Production PCL Montri Rawanchaikul.
Menerusi lebih 50 dialog strategik merangkumi tujuh subtema, Energy Asia akan meneroka usaha kerjasama dalam kalangan negara-negara Asia untuk meningkatkan keselamatan tenaga, menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, melaksanakan penyelesaian penyahkarbonan, memudahkan pemindahan teknologi, serta memangkin pembangunan ekonomi dan sosioekonomi.
Sementara itu, Energy Park yang merupakan hab bagi program teknologi dan inovasi di persidangan berkenaan, akan mempamerkan platform teknologi transformasi dalam sektor tenaga dan industri berkaitan.
Untuk senarai penuh speaker Energy Asia 2025, layari www.officialenergyasia.com/speakers/; manakala untuk mendaftar sebagai delegasi, layari www.officialenergyasia.com/delegate/.
-- BERNAMA