GAYA HIDUP

Teater Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu Dipentaskan Di DBP Mulai Jumaat Ini

26/05/2025 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Teater Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu yang mengangkat legenda agung dari Sabah, bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, mulai Jumaat ini hingga 1 Jun depan, bersempena dengan Pesta Kaamatan.

Sarat dengan nilai budaya, karya ini mengisahkan pengorbanan Puteri Huminodun seorang puteri suci yang rela menyerahkan dirinya demi menyelamatkan tanah dan rakyatnya daripada kelaparan.

Berdasarkan skrip asal Satra Nurizman dan olahan Amsalib Pisali, teater arahan Nawfal Zamri ini antara lain menampilkan cabaran pengarahan dalam bahasa Kadazandusun yang menuntut kefahaman mendalam terhadap lenggok serta sebutan yang tepat.

pic-2

“Saya orang Perak dan tidak biasa dengan bahasa ini. Saya bersyukur apabila mendapat bantuan rakan dari Sabah untuk menyemak sebutan pelakon kerana bahasa dan intonasi itu sangat penting.

“Kami juga tidak mahu hilang rasa autentik. Jadi beberapa bahagian penting masih dikekalkan dalam bahasa asal, terutama dalam dialog emosi. Namun, struktur persembahan secara keseluruhan disusun agar mudah difahami semua penonton," kata Nawfal pada sidang media pementasan teater itu, di sini baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau turut terlibat dalam penyelidikan lapangan di Sabah bagi menelusuri lokasi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan asal-usul legenda Huminodun.

pic-3

Pementasan teater Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu dibawa oleh KGE Studio dan Persatuan Bantuan Masyarakat Sabah dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris, DBP serta Pertubuhan Anak Karya Malaysia dan disokong melalui geran Yayasan Hasanah dan ArtFast.

Teater itu menampilkan Queenenra Francine sebagai Puteri Huminodun bergandingan dengan Virtoues Romana, Ijat Ashari, Faizan Deraman, Verd dan Dr Marlenny Deen Erwan.

Marlenny yang membawakan watak Suminundu, ibu kepada Puteri Huminodun, menyifatkan karya itu bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebagai wadah pendidikan rentas budaya.

“Kisah rakyat Sabah itu memberi ruang kepada penonton memahami nilai pengorbanan dan kasih sayang keluarga dari sudut budaya yang berbeza. Cerita memperlihatkan emosi seorang ibu yang merelakan anaknya (dikorbankan) demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

pic-4

Penerbit dan pengasas KGE Studio Anas Amdan berkata pementasan asal Huminodun yang diperkenalkan pada 2022 di Kota Kinabalu, Sabah, telah meraih empat anugerah di Anugerah Teater Malaysia, sekali gus menjadi batu loncatan untuk memperluas karya itu ke Semenanjung.

“Harapan saya agar teater ini menjadi pintu masuk kepada lebih banyak cerita dari Sabah dan Sarawak untuk dikenali dan dihargai. Kita mahu karya ini dipromosikan bukan semata-mata untuk keuntungan komersial, tetapi berasaskan sambutan penonton dan nilai budayanya yang signifikan,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menonton, boleh membuat tempahan tiket menerusi  ticket2u.com.my.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2427366