AM

Proses Permohonan Rumah Mampu Milik, Urusan Tanah Di Johor Lebih Mudah - MPC

24/05/2025 05:42 PM

JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Proses permohonan rumah mampu milik serta urusan tanah di Johor kini lebih mudah dan efisien, hasil pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah inisiatif Kerajaan MADANI.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penambahbaikan tersebut memberi manfaat besar kepada rakyat dan komuniti perniagaan selaras dengan komitmen kerajaan dalam meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan awam.

Menurut kenyataan itu, permohonan Rumah Mampu Milik Johor hanya memerlukan lima dokumen berbanding 17 dokumen sebelum ini, dengan semua dokumen boleh dikemukakan secara digital tanpa keperluan cetakan fizikal atau kehadiran ke pejabat kerajaan.

“Penjimatan bukan sahaja dirasai rakyat dari segi masa dan tenaga, malah kerajaan juga berjaya menjimatkan perbelanjaan operasi sebanyak RM15.3 juta setahun.

“Ini adalah cerminan langsung peningkatan produktiviti sektor awam yang memberi manfaat nyata kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Bagi sektor hartanah dan pelaburan pula, MPC memaklumkan tempoh proses Serah Balik Kurnia Semula (SBKS) kini disingkatkan kepada 3.5 bulan berbanding 17 bulan sebelum ini, sekali gus membawa kepada penjimatan kos pematuhan dianggarkan RM290 juta setahun.

“Lebih penting, pelaburan dapat digerakkan lebih pantas, projek pembangunan boleh dimulakan lebih awal dan tahap keyakinan terhadap sistem penyampaian kerajaan semakin meningkat,” menurut kenyataan itu.

Sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Johor yang diadakan di Toppen Shopping Centre di sini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Pentadbiran Tanah Negeri Johor atas kejayaan melaksanakan penambahbaikan itu.

“Apabila kita mengutamakan rakyat dan permudahkan urusan perniagaan, kita akan menemui jalan untuk mempercepat proses, menjimatkan kos dan menambah baik produktiviti. Ini adalah bukti jelas bahawa tahap kecekapan perkhidmatan awam boleh sentiasa ditambah baik,” kata Shamsul Azri menerusi kenyataan itu.

Kedua-dua inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program RKB yang diterajui MPC, selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan.

Ia bukan sekadar satu pencapaian, tetapi mencerminkan budaya baharu dalam penyampaian perkhidmatan awam yang lebih produktif, responsif, cekap dan mesra rakyat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426612