JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memanfaatkan sepenuhnya tempoh selepas pemilihan parti untuk menyatukan kekuatan dan memperkukuh hubungan dengan akar umbi, kata Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang menawarkan diri bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), berkata langkah itu perlu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
"Pemilihan adalah saat di mana kita perlu membuat pilihan tetapi ada satu perkara lebih penting iaitu kita perlu melaksanakan apa yang diidam, dihasrat, yang menjadi aspirasi dan harapan akar umbi," katanya pada program Grand Finale 'Bersama Membina Parti Kita' di sini hari ini.
Program itu turut dihadiri calon Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Wanita yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti bagi penggal 2025-2028.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, turut mengingatkan semua menteri dan pemimpin parti untuk terus dekat dengan rakyat serta tidak terpisah daripada jentera di peringkat Cabang.
"Pesanan daripada Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari awal lagi kepada semua menteri, luangkan masa pergi ke negeri-negeri... dalam membuat lawatan kerja, luangkan juga masa bertemu akar umbi, luangkan masa bersama Ketua Cabang dan anggota, jangan pisahkan diri," katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dalam ucapannya meminta untuk diberikan peluang menggalas tanggungjawab tersebut dan meletakkan visi untuk bersama-sama dengan akar umbi memperkuatkan parti.
Beliau berharap dalam menghadapi PRU16, pimpinan dan ahli PKR dapat meningkatkan penglibatan dengan rakyat termasuk menjelaskan segala dasar serta program yang dibawa oleh parti untuk rakyat.
Pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah dengan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.
Kongres Nasional PKR 2024/2025 bermula malam ini dengan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita oleh Setiausaha Agung Dr Fuziah Salleh.
Kedua-dua sayap akan memulakan kongres masing-masing esok dengan ucapan dasar Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim dan Fadhlina diikuti sesi perbahasan sebelum penggulungan oleh Setiausaha, Naib Ketua, Timbalan Ketua dan Ketua Sayap.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat akan berlangsung esok merangkumi pemilihan MPP, Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian.
Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyempurnakan perasmian Kongres Nasional PKR malam esok.
Pada Sabtu, kongres diteruskan dengan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden, pengundian Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap dikuti penggulungan oleh kepimpinan baharu sebelum kongres ditangguhkan.
-- BERNAMA