AM

Jabatan Penjara Galak Sektor Swasta, NGO Bantu Biaya Banduan Lanjut Pengajian

22/05/2025 09:15 PM

MELAKA, 22 Mei (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia menggalakkan kerjasama sektor swasta, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program pembiayaan pengajian banduan yang ingin menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata walaupun sedang menjalani hukuman ramai dalam kalangan banduan menunjukkan minat untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana mahu pun doktor falsafah (PhD).

“Kerjasama ini yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), dilihat amat membantu kerana dana sedia ada terhad dan tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos pembelajaran banduan, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai sokongan kewangan daripada keluarga.

“Bagi banduan berkemampuan mereka mungkin ditanggung keluarga tetapi bagi yang tidak mampu, kami perlu membantu mencarikan dana yang sesuai dan sekiranya tiada bantuan disalurkan usaha mereka akan terhenti setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada pemberita di Telok Mas di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Apresiasi Sekolah Integriti Sekolah Henry Gurney (SISHG) 2024 dan turut dihadiri Pengarah Penjara Melaka Timbalan Komisioner Penjara Rosman Norman.

Ibrisam berkata hingga kini, Jabatan Penjara telah menjalin kerjasama dengan tiga institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Asia College of Exercise Medicine.

Beliau berkata kolaborasi itu yang telah bermula sejak 2008 membolehkan lebih banyak pilihan bidang pengajian ditawarkan kepada banduan.

“Ketika ini, terdapat tiga banduan mengikuti pengajian peringkat PhD, sembilan di peringkat sarjana, 10 di peringkat ijazah sarjana muda dan 200 orang di peringkat diploma,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425859