EKONOMI

Panel Pengurus Dana Luar KWSP Catat Sumbangan 24 Peratus Kepada Pendapatan 2024

22/05/2025 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Panel pengurus dana luar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak 24 peratus kepada jumlah pendapatan dana persaraan itu pada 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata setakat 31 Dis, 2024 sejumlah RM213.21 bilion disalurkan kepada pengurus dana luar, mewakili 17 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pencapaian ini adalah bukti kepada kecekapan, matlamat dan kerjasama dalam ekosistem pelaburan yang telah dibina antara KWSP dan pengurus dana luarnya.

"Meskipun berdepan dengan cabaran luar dan ketidaktentuan pasaran sepanjang tahun lepas, KWSP dan pengurus dana luarnya menunjukkan kecekapan dan daya tahan dalam mengurus portfolio pelaburan yang pelbagai bagi memberikan nilai jangka panjang untuk ahli kami," katanya.

Pada 2024, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan masing-masing sebanyak RM73.24 bilion dan RM10.19 bilion.

KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion pada 2024, manakala jumlah aset pelaburannya telah meningkat kepada RM1.25 trilion.

Mohd Zuki berkata KWSP komited terhadap inovasi dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi serta membangunkan infrastruktur pelaburan yang lebih tangkas dan tersedia masa hadapan.

"Kami bekerjasama secara aktif dengan pengurus dana luar bagi memastikan mereka selari dengan tujuan kami untuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” katanya.

Sementara itu, KWSP memberi penghormatan kepada 12 pengurus dana luar yang berprestasi tinggi mengikut mandat masing-masing dalam Majlis Makan Malam Tahunan Anugerah Pengurus Dana Luar KWSP.

Antara pemenang adalah Pengurus Dana Ekuiti Domestik Terbaik (Shariah) 2024, yang disampaikan kepada BNP Paribas Asset Management Najmah Malaysia Sdn Bhd dan Pengurus Dana Ekuiti Domestik Terbaik (Konvensional) 2024 dianugerahkan kepada Franklin Templeton Asset Management (Malaysia) Sdn Bhd.

Kategori Pengurus Dana Bon Global Terbaik 2024 pula dimenangi oleh BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425798