AM

Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang Alami Perubahan Jadual Sementara Bermula 24 Mei

22/05/2025 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang akan mengalami perubahan jadual sementara selama tiga hari bermula 24 Mei ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perubahan itu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf sistem semboyan di laluan Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan sebagai sebahagian usaha berterusan KTMB untuk meningkatkan kecekapan sistem dan keselamatan operasi tren.

Sepanjang tempoh pelaksanaan itu, dua laluan utama KTM Komuter iaitu Pulau Sebang - Batu Caves - Pulau Sebang dan Tanjung Malim - KL Sentral - Tanjung Malim serta perkhidmatan tren elektrik (ETS) dijangka mengalami kelewatan hingga 50 minit berbanding jadual asal.

Selain itu, dua perkhidmatan ETS iaitu EG9425 (Padang Besar - Segamat) dan EG9321 (Butterworth - Segamat) akan mengalami perubahan platform di Stesen KL Sentral dan Stesen Kuala Lumpur pada 24 Mei.

“Pegawai bertugas akan ditempatkan di stesen bagi mengiringi dan membantu penumpang ke platform. KTMB menasihatkan semua penumpang agar merancang perjalanan lebih awal serta menyemak jadual perjalanan di MyRailtime melalui aplikasi KTMB Mobile.

“Penumpang juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap pengumuman di stesen serta hebahan melalui saluran rasmi media sosial KTMB,” menurut kenyataan itu.

KTMB memaklumkan khidmat pesanan ringkas (SMS) juga akan dihantar kepada penumpang ETS yang terjejas sebagai notifikasi awal mengenai kelewatan mungkin berlaku.

“KTMB amat menghargai kesabaran dan sokongan berterusan semua pengguna sepanjang pelaksanaan kerja-kerja naik taraf ini.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi KTMB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425673