DUNIA

Reeves: Perjanjian Perdagangan Dengan Negara Teluk Sasaran UK Seterusnya

20/05/2025 08:04 PM

LONDON, 20 Mei (Bernama-PA Media/dpa) -- Canselor UK Rachel Reeves berkata kerajaan Britain kini hampir memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan enam negara Teluk, termasuk Qatar dan Arab Saudi, menjadikannya perjanjian utama seterusnya selepas rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU), lapor PA Media/dpa.

Beliau memberitahu BBC bahawa perjanjian itu akan menjadi “perjanjian seterusnya” kerajaan dalam usaha untuk terus mengukuhkan hubungan perdagangan pasca-Brexit.

Reeves menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi dijangka diperkukuh menerusi perjanjian perdagangan baru-baru ini dengan Amerika Syarikat (AS), EU dan India.

“Britain berada dalam kedudukan lebih baik berbanding mana-mana negara lain di dunia dari segi perjanjian dengan negara berkenaan,” katanya.

“Kita dapat perjanjian pertama dan terbaik dengan AS, perjanjian terbaik dengan EU bagi negara luar EU, dan perjanjian perdagangan terbaik dengan India.”

Beliau turut berkata UK "tidak berhasrat mengadakan rundingan perdagangan dengan China."

Pada awal April lalu, Setiausaha Luar David Lammy menyatakan bahawa Parti Buruh meneruskan perbincangan dengan negara Teluk mengenai perjanjian perdagangan yang dimulakan oleh kerajaan Konservatif sebelum ini.

Kenyataan Reeves dibuat susulan berita perjanjian perdagangan baharu dengan Brussels yang dimeterai pada Isnin.

Perdana Menteri Keir Starmer menyifatkan perjanjian itu yang dimeterai dalam satu sidang kemuncak di London sebagai “situasi menang-menang” untuk kedua-dua pihak dan permulaan kepada “era baharu” dalam hubungan UK-EU.

Perjanjian menyeluruh itu akan membolehkan lebih ramai pelancong Britain menggunakan lorong automatik e-pasport semasa melancong ke Eropah, manakala petani UK akan mendapat akses lebih mudah dan pantas ke pasaran benua itu susulan persetujuan mengenai piawaian produk haiwan dan tumbuhan.

Skim “pengalaman belia” turut dipersetujui, membolehkan anak muda Britain belajar dan tinggal di Eropah, selain kerjasama baharu dalam bidang keselamatan dan pertahanan.

Kerajaan UK menyatakan langkah “penetapan semula” pasca-Brexit itu akan mengurangkan kerenah birokrasi untuk pelancong dan perniagaan, serta meningkatkan ekonomi sebanyak £9 bilion (US$12 bilion) menjelang 2040.

Namun, ia turut menerima kritikan selepas UK bersetuju memberikan akses tambahan selama 12 tahun kepada bot pukat tunda Eropah untuk menangkap ikan di perairannya.

Starmer menyambut baik “perubahan suasana” dalam hubungan dengan blok itu sambil berkata: “EU dan UK mahu bekerjasama. Kita semua bersedia untuk melupakan semalam, dan melihat ke hadapan.”

“Kita tidak akan mengungkit perbalahan lama. Kita akan bergerak ke hadapan dengan semangat bahawa apa yang dilakukan bersama, akan lebih berjaya.”

-- BERNAMA-PA Media/dpa

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425006