AM

Mohd Hazrizam Terima Bintang Wira Merah

09/05/2025 07:34 PM

KUANTAN, 9 Mei (Bernama) --Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Mohd Hazrizam Hasin, telah dianugerahkan Pingat Bintang Wira Merah dalam Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang berlangsung di sini, hari ini.

Mohd Hazrizam merupakan salah seorang daripada 16 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan di Gaziantep, Turkiye selepas gempa bumi yang melanda negara itu pada Februari 2023.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah kejayaannya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia antara satu hingga dua tahun bersama ayahnya yang terperangkap dalam runtuhan bangunan selama tujuh hari.

"Saya bawa keluar mangsa dalam keadaan berdebu, ayahnya hanya mampu memberi air liur kepada anaknya ketika kejadian," katanya kepada pemberita  selepas majlis yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.

Selain misi bantuan antarabangsa, Mohd Hazrizam juga terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Dis 2022.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada JBPM atas penghargaan yang diberikan dan berharap anggota bomba lain dapat mengikuti jejak langkahnya dalam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah JBPM dan Komander STORM, Ismail Abd Ghani, yang banyak memberi peluang serta membentuk saya sehingga ke tahap ini," katanya.

Dalam majlis itu, JBPM turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Bomba kepada 70 anggota, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 77 anggota, serta Sijil Perkhidmatan 30 Tahun kepada 46 anggota.

Sebanyak 21 Pegawai Bomba Bantuan turut menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji.

Nor Hisham juga mengumumkan kejayaan Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia yang berlangsung pada 4 Mei lepas di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1, yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung, satu pencapaian besar bagi JBPM.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2421347