KOTA BHARU, 9 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan migran selepas menahan 41 individu termasuk enam warga tempatan dalam operasi bersepadu di Kampung Kubang Sepat, Pasir Mas hari ini.
Pengarah JIM Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata operasi bermula 5.30 pagi itu dilakukan oleh Unit Risikan Sempadan Imigresen dengan kerjasama Pasukan Taktikal Khas Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.
"Serbuan ini merupakan hasil risikan rapi yang dijalankan selama dua minggu oleh pasukan yang membawa kepada penahanan 41 orang terdiri daripada 35 pendatang tanpa izin warga Myanmar termasuk dua kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.
"Kesemua pendatang yang ditahan berumur dalam lingkungan tiga hingga 53 tahun, manakala enam lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai transporter dan penjaga rumah transit turut ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Yusoff Khan berkata pihaknya turut merampas lima kenderaan iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), sebuah kereta sedan dan dua motosikal kerana dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan dengan anggaran nilai rampasan RM300,000.
"Kita turut merampas wang tunai RM820 dan mata wang Thailand berjumlah 10,000 baht. Kesemua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Enam lelaki warga tempatan pula sedang disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang sama kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran secara terancang," katanya.
-- BERNAMA