PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

08/05/2025 09:36 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 8 Mei  (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, pulih daripada aliran penurunan tujuh hari berturut-turut berikutan buruan pada harga rendah oleh pelabur susulan penyusutan harga baru-baru ini. 

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga yang lebih kukuh dipacu oleh pengukuhan dalam pasaran minyak soya, dengan paras sokongan dan paras rintangan utama masing-masing pada RM3,700 dan RM3,900 satu tan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata walaupun niaga hadapan MSM dibuka rendah, pasaran mendapat sokongan segera disebabkan pembelian dari India dan aktiviti belian bagi menampung kekurangan susulan kejatuhan harga yang ketara baru-baru ini.

“India menjadi pembeli utama minyak sawit minggu ini berikutan harganya yang lebih kompetitif berbanding pesaing lain, dengan meraih sekitar 100,000 tan setakat ini,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 meningkat RM47 kepada RM3,772 satu tan, Jun 2025 naik RM65 kepada RM3,797 satu tan, Julai 2025 melonjak RM73 kepada RM3,801 satu tan, Ogos 2025 menambah RM86 kepada RM3,820 satu tan, September 2025 menokok RM92 kepada RM3,833 satu tan, dan Oktober 2025 meningkat RM95 kepada RM3,846 satu tan.

Jumlah dagangan naik kepada 96,041 lot berbanding 91,358 semalam, manakala kepentingan terbuka naik kepada 235,144 kontrak daripada 234,996 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Mei Selatan ditetapkan pada RM3,820 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2421068