KUCHING, 1 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan melaksanakan penilaian standard bagi Program Dwibahasa (DLP) mengikut piawaian antarabangsa Cambridge University Press and Assessment (CUP&A) untuk murid Tahun Enam di sekolah rendah di negeri itu, bermula Oktober ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Kementerian Pendidikan telah memberi kebenaran kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) untuk bekerjasama dengan Universiti Cambridge bagi pelaksanaan program tersebut.
“Program DLP ini akan disemak dan ditentusahkan oleh Cambridge University Press and Assessment bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Kontrak Perkhidmatan antara CUP&A dan Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) di Cambridge, United Kingdom, semalam, satu daripada acara dalam siri lawatan beliau ke negara itu, yang bermula Selasa.
Pada majlis itu, CUP&A diwakili Pengarah Urusan Partnership for Education Jane Mann, manakala SWIM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya George Ngui.
Abang Johari berkata pelaksanaan program itu melibatkan penggunaan Bahasa Melayu berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai medium penilaian kedua mengikut sukatan antarabangsa yang disediakan oleh Cambridge.
Menurutnya, Universiti Swinburne yang merupakan rakan strategik akan bekerjasama dengan Cambridge dalam pelaksanaan penilaian di Sarawak dan mempunyai kedudukan dalam penarafan universiti antarabangsa.
“Usaha ini bertujuan melahirkan pelajar yang menguasai kedua-dua bahasa, sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
Beliau berkata MEITD turut bekerjasama dengan Universiti Cambridge dalam melaksanakan pelbagai program dwibahasa berstandard tinggi, termasuk dari segi pendidikan dan biasiswa, bagi membuka ruang kepada pelajar Sarawak melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi strategik baharu.
Katanya kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menempatkan pelajar Sarawak yang berkelayakan dalam sistem sekolah antarabangsa ke institusi terkemuka dunia seperti di Universiti Cambridge, Oxford dan London School of Economics di UK, serta Harvard di Amerika Syarikat.
"Sarawak menyasarkan kuota khas sebanyak 10 tempat untuk pelajar cemerlang dalam bidang yang telah dikenal pasti," tambahnya.
-- BERNAMA