KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Peranan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini diiktiraf menerusi Anugerah Media Terbaik (Agensi) sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Anugerah yang julung kali diadakan itu antara dua kategori baharu diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selain Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan Atasan).
Kategori Anugerah Media Terbaik (Agensi) sebagai mengiktiraf peranan cemerlang agensi media dalam penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan berintegriti kepada rakyat menerusi pelbagai platform berita.
Sementara itu, Nur-ul Afida menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai penyuntik semangat kepada seluruh warga Bernama untuk terus gigih berusaha dengan berpegang kepada slogan agensi berita rasmi negara, iaitu ‘Sumber Berita Diyakini’.
“Saya berharap semua warga Bernama dapat terus berusaha dan berjuang memastikan apa yang kita dukung di dalam slogan itu bagi memastikan agensi ini terus relevan dan kita terus hebat seperti Perdana Menteri mahukan daripada kalangan pekerja.
“Saya juga mahu semua warga Bernama khususnya wartawan, jurufoto dan jurukamera bertugas mengikut etika kewartawanan yang kita pegang sejak dahulu,” katanya.
Menzahirkan kesyukuran, Nur-ul Afida berkata pengiktirafan itu julung kali diterima sejak 57 tahun Bernama memainkan peranan sebagai agensi media rasmi Malaysia.
“Pengiktirafan ini hasil sumbangan tenaga semua warga Bernama khususnya Jabatan Pengarang.
“Alhamdulillah, pada hari yang cukup istimewa ini, 1 Mei sempena Hari Pekerja, buat kali pertama media diangkat mengungguli satu kategori anugerah pada Sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan oleh KESUMA,” katanya.
Mengenai semangat kerja berpasukan seperti yang sering diingkatkan oleh Perdana Menteri, Nur-ul Afida berkata kerjasama itu sudah menjadi sebahagian daripada amalan di Bernama yang hasilnya dibuktikan menerusi kejayaan penganjuran pelbagai acara rasmi negara yang diamanahkan.
“Semangat kerja berpasukan di Bernama amat hebat terutama ketika menjalankan tugas besar dan kerana itu (semangat kerja berpasukan) kita dapat menjayakan tugas dengan cemerlang,” katanya sambil menambah, Bernama telah dilantik sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Hadir sama pada sambutan majlis yang dirasmikan Perdana Menteri itu, barisan pengurusan tertinggi Bernama antaranya Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz serta kontinjen Bernama terdiri daripada 50 petugas pelbagai jabatan.
-- BERNAMA