AM

Feri Baharu Pulau Pinang Catat Lima Juta Penumpang Sejak Ogos 2023

30/04/2025 06:12 PM

BUTTERWORTH, 30 April (Bernama) -- Lima juta penumpang direkod menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang baharu sejak ia dilancarkan pada 7 Ogos 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd (PPSB) Datuk V. Sasedharan berkata jumlah itu adalah satu pencapaian yang membanggakan, sekali gus membuktikan orang ramai terutama rakyat Pulau Pinang dan pelancong menjadikan feri sebagai mod pengangkutan pilihan untuk berulang-alik dari tanah besar ke pulau.

“Daripada lima juta penumpang ini, 74 peratus atau 3.7 juta adalah pejalan kaki, manakala 24 peratus lagi (1.3 juta) adalah kenderaan dua roda (motosikal dan basikal).

“Dari segi demografi pula, hampir 95 peratus penumpang adalah pengguna harian yang memasuki Pulau Pinang untuk bekerja dan lima peratus lagi adalah pelancong,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pencapaian 5,000,000 Penumpang Feri Baharu Pulau Pinang di Pangkalan Sultan Abdul Halim di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi PPSB Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza.

Sasedharan berkata jumlah keseluruhan penumpang juga dilihat meningkat enam peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini iaitu 740,705 berbanding 700,353 penumpang dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata meskipun jumlah penumpang meningkat, perkhidmatan feri masih belum mencatatkan keuntungan disebabkan oleh kos operasi yang tinggi.

Bagaimanapun, beliau optimis peningkatan jumlah penumpang secara beransur-ansur akan membantu mengurangkan kerugian.

“PPSB merancang untuk mempergiatkan lagi promosi khususnya kepada pengguna perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang kini menunjukkan minat menggunakan feri sebagai pilihan lebih ekonomi. 

“Antara perancangan adalah membuat beberapa perubahan kepada jadual feri supaya dapat disesuaikan dengan jadual perjalanan ETS, selain bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk memperkenalkan keberadaan feri di Pulau Pinang kepada pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya.

Pada 7 Ogos 2023, empat feri baharu dilancarkan iaitu Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar yang melakukan 68 perjalanan dua hala sehari dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak, manakala 30 minit pada waktu bukan puncak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418328