Dalam tempoh 10 tahun lalu, Nor Azmin Aziz telah mencuba pelbagai cara untuk menurunkan berat badannya selepas didiagnosis menghidap sirosis - satu masalah hati yang serius berkait dengan obesiti.
Menurut pesara kerajaan berusia 60 tahun dengan ketinggian 176 cm itu, sepanjang tempoh tersebut, beratnya berlegar-legar dalam lingkungan 90 ke 93 kilogram (kg) walaupun mengawal pemakanan dan menyertai program pelangsingan tubuh.
“Pada ketika itu saya sudah hampir putus asa, kerana walaupun ambil makanan dalam jumlah yang sangat kecil selain bersenam, berat turun sedikit saja.
“Kemudian, atas nasihat doktor di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), saya menjalani prosedur endoscopic sleeve gastroplasty (ESG), iaitu satu prosedur gastroplasti yang tidak melibatkan pembedahan, bagi membantu saya mengawal berat badan dan kesihatan hati saya,” katanya pada sidang media berkenaan ESG yang pertama seumpamanya di hospital kerajaan, di sini baru-baru ini.
(Gastroplasti merujuk pembedahan yang dilakukan ke atas bentuk dan kapasiti perut untuk mengehadkan isi padu perut, yang lazimnya dilakukan bagi merawat masalah obesiti serius.)
Berkongsi lanjut, Nor Azmin berkata antara kesan terawal yang dirasai selepas menjalani prosedur itu ialah dia berasa lebih bertenaga.
“Saya rasa lebih sihat dan ini memberikan saya motivasi untuk mengekalkan gaya hidup lebih sihat. Sekarang saya berasa cepat kenyang. Dulu, saya boleh minum dua gelas air, sekarang setengah gelas pun dah rasa penuh perut,” katanya yang kini mempunyai berat badan sekitar 80 kg.
Nor Azmin merupakan pesakit pertama yang menjalani ESG di HTCM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu pada 11 Mac lepas.
APA ITU ESG?
ESG ialah rawatan obesiti yang inovatif dan turut dikenali sebagai "prosedur akordion”. Menerusi prosedur ini, tiada pembedahan dijalankan bagi mengecilkan saiz perut, sebaliknya dilakukan dengan cara sutur (jahit) perut menjadi lebih kecil dan berbentuk tiub menggunakan endoskop.
Kaedah ini ialah alternatif kepada prosedur gastroplasti tradisional, dan antara kelebihannya pesakit lebih cepat sembuh, iaitu cuma mengambil masa satu atau dua hari kerana prosedur hanya melibatkan beberapa insisi kecil.
HCTM (dulu Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) menjadi hospital pengajar dan kemudahan kesihatan kerajaan yang pertama menjalankan ESG di negara ini.
Pakar Perunding Bedah Gastroenterologi dan Bariatrik Prof Madya Datuk Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood berkata ESG semakin mendapat perhatian sebagai pilihan baharu untuk menangani masalah obesiti.
Prosedur ini menawarkan kaedah yang kurang invasif berbanding pembedahan bariatrik tradisional.
"Berbeza dengan pembedahan biasa yang memerlukan insisi, prosedur ESG dilakukan sepenuhnya melalui mulut menggunakan endoskop dan alat jahitan khas bagi mengecilkan saiz dan isi padu perut sebanyak kira-kira 70 peratus.
"Prosedur ini biasanya mengambil masa satu hingga dua jam dengan hanya anestetik ringan dan kebanyakan pesakit boleh pulang pada hari yang sama serta dapat kembali menjalani aktiviti harian dalam tempoh beberapa hari,” katanya kepada Bernama.
Dr Nik Ritza berkata kesemua tiga pesakit yang menjalani prosedur tersebut didiscaj dari hospital tanpa sebarang komplikasi.
"Prosedur ini pertama kali dijalankan pada 11 Mac semasa Bengkel ESG UKM: Penurunan Berat Badan Tanpa Parut yang pertama. Yang paling penting, prosedur ini terbukti selamat dan berkesan dalam membantu pesakit menurunkan berat badan dengan banyak untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.
"Semua rawatan obesiti biasanya menyebabkan penurunan berat badan yang cepat dalam masa singkat. Yang kita mahu elakkan ialah berat badan naik semula selepas enam bulan," katanya.
Memetik satu kajian melibatkan 15,000 pesakit di seluruh dunia, beliau berkata kadar komplikasi ESG rendah, iaitu sekitar 1.5 peratus dan boleh menyumbang kepada penurunan berat badan purata sebanyak 15.9 peratus dalam tempoh lima tahun.
“Lebih 90 peratus pesakit dapat mengekalkan penurunan berat badan mereka dan 70 peratus mampu mengawal masalah tekanan darah tinggi. Kadar komplikasi refluks asid pula sangat rendah, tidak sampai satu peratus atau sifar.
“Bagaimanapun pesakit perlu kekal bermotivasi tinggi serta sedar akan kesan serius obesiti bagi mencegah masalah itu daripada berulang dengan mengubah gaya hidup mereka, termasuk mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam secara berkala,” tegasnya.
Tambah beliau, calon yang ideal untuk menjalani ESG ialah mereka yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) antara 30 dan 50 yang berdepan cabaran dalam menurunkan berat badan melalui kaedah konvensional seperti diet dan bersenam.
OBESITI PENYAKIT KRONIK
Sementara itu, Dr Nik Ritza berkata obesiti harus diiktiraf sebagai penyakit kronik yang memerlukan intervensi jangka panjang dan berstruktur.
“Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan 2023 mendedahkan 53.5 peratus daripada mereka yang disaring diklasifikasikan sama ada berlebihan berat badan (31.3 peratus) atau obes (22.2 peratus).
“Trend gaya hidup sedentari yang semakin menjadi kelaziman serta dominasi makanan segera dalam diet harian, boleh menyumbang kepada lonjakan penyakit kronik.
“Merawat obesiti bukan setakat menurunkan berat badan dengan cepat, tetapi tentang kejayaan mengekalkan dan menguruskan berat ideal di sepanjang hayat, dengan pesakit memerlukan sokongan berterusan bagi menghalang relaps dan menguruskan risiko kesihatan yang berkaitan,” katanya.
Menekankan kepentingan pendekatan pelbagai disiplin, Dr Nik Ritza berkata kerjasama antara pakar bedah bariatrik, pakar diet, pakar psikologi dan pakar endokrinologi ialah kunci kepada kejayaan rawatan.
"Menangani masalah obesiti memerlukan usaha secara berkumpulan dan setiap pakar memainkan peranan penting - daripada membantu pesakit mengubah tabiat pemakanan mereka sehinggalah menangani faktor psikologi yang menyumbang kepada peningkatan berat badan," jelasnya.
HATI BERLEMAK
Sementara itu, Ketua Jabatan Gastroenterologi HCTM Dr Deborah Chew Chia Hsin berkata pengurangan berat badan bagi mereka yang mengalami masalah berat berlebihan, akan menambah baik keadaan hati berlemak dan lain-lain isu metabolik apabila digandingkan dengan perubahan gaya hidup.
“Hati berlemak terjadi tanpa disedari dengan hanya sedikit gejala atau langsung tiada di peringkat awal, serta boleh merosot ke peringkat lebih teruk seperti fibrosis hati, sirosis malah kanser hati jika dibiarkan.
“Kira-kira 94 peratus pesakit hati berlemak turut mengalami obesiti abdomen yang dicirikan oleh lemak berlebihan di sekeliling perut. Secara purata, 25 peratus daripada pesakit hati berlemak turut didiagnosis dengan diabetes, 75 peratus berkolesterol tinggi dan 48 peratus menghidap darah tinggi,” katanya.
Beliau berkata dewasa ini penyakit hati berlemak dikesan pada pesakit semuda 18 hingga 30 tahun dengan kebanyakannya disebabkan oleh pemakanan berlebihan dan diet yang tinggi kandungan fruktosa atau gula buah.
“Umur purata pesakit hati berlemak ialah 42 tahun, dengan mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti merokok atau mengambil alkohol berisiko lebih tinggi mengalami keadaan itu,” katanya.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr Chew berkata pesakit perlu menurunkan berat badan mereka sekurang-kurangnya sebanyak tiga peratus bagi membalikkan penyakit hati berlemak tanpa keradangan.
Bagaimanapun, bagi pesakit yang mempunyai kluster besar lemak pada hati berserta keradangan, individu berkenaan mesti menurunkan minimum lima peratus daripada berat badannya dalam tempoh setahun.
“Jika radang terlalu teruk, berat badan mesti dikurangkan sebanyak tujuh peratus, dan jika hati berparut (fibrosis) sudah berlaku, pesakit perlu turunkan berat mereka sebanyak 10 peratus.
“Hanya kira-kira 10 peratus daripada pesakit hati berlemak berjaya mencapai penurunan berat badan yang diperlukan bagi membaiki keadaan hati mereka,” tambahnya.
Jelasnya, apabila kadar kandungan lemak dalam hati melebihi 50 peratus, organ itu akan menghantar isyarat kepada sel-sel radang di seluruh tubuh agar memusnahkan lebihan lemak tersebut yang seterusnya menyebabkan kerosakan pada sel hati dan mengalami keradangan, dikenali sebagai steatohepatitis.
“Peringkat ini disifatkan sebagai tahap kedua penyakit hati berlemak. Jika keradangan itu tidak dikawal, hati akan cuba memulihkan sendiri keadaannya dengan membentuk parut yang membawa kepada fibrosis teruk.
“Pada peringkat ini, jika penurunan berat badan tidak memadai dan lebih 50 peratus daripada lemak hati tidak dikurangkan, keadaan parut akan berkembang kepada pengecutan hati dikenali sebagai sirosis.
“Apabila hati mula hilang keupayaan untuk menyahtoksik badan dan mengawal keseimbangan cecair, ia pada akhirnya akan gagal berfungsi sepenuhnya. Oleh sebab itu, pengesanan awal amat penting agar rawatan bersesuaian dapat dilakukan,” jelas beliau.