Ledakan AI Buka Peluang Pertumbuhan PKS Pulau Pinang -- MSIA

GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Perkembangan ledakan kecerdasan buatan (AI) turut membuka peluang besar bagi pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Pulau Pinang, terutama bidang yang menyokong rantaian nilai semikonduktor, menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Presidennya, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata pengembangan ketara aplikasi berkaitan AI telah mendorong permintaan tinggi terhadap cip memori, peralatan pembuatan, komponen kuasa, fotonik dan pembungkusan termaju.

Permintaan AI yang tinggi juga telah memenuhi kapasiti pengeluaran beberapa produk memori sehingga 2027 dengan tempahan baharu berlanjutan sehingga 2028 dan 2029.

Beliau berkata ini memberi manfaat kepada syarikat yang terlibat dalam komponen, peralatan dan pembuatan dengan sebahagiannya telah beroperasi pada kapasiti penuh.

“Ini satu cabaran yang baik, namun persoalannya adalah bagaimana kita dapat meneruskan kapasiti sedia ada untuk menyokong pertumbuhan ini,” katanya pada sesi panel Unjuran Ekonomi : Peluang Bagi PKS Pulau Pinang pada acara RHB Progress Series 2026 : Forum Ekonomi Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sesi itu telah dikendalikan oleh Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan RHB Banking Group Barnabas Gan Sheng Chong dan turut disertai oleh Bendahari Kumpulan RHB Group Suzaizi Mohamad Morshid sebagai ahli panel.

Wong berkata Pulau Pinang telah membangunkan ekosistem semikonduktor komprehensif dengan kekuatan dalam pemasangan dan pengujian, automasi, pemesinan ketepatan serta pembuatan peralatan.

Pada masa sama, PKS tempatan turut berkembang seiring dengan syarikat multinasional.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan Pulau Pinang dan Malaysia perlu terus bertindak melonjakkan kemajuan di tengah-tengah persaingan sengit daripada hab semikonduktor serantau yang lain.

“Kita perlu bergerak pantas atau ketinggalan jauh. Pada hari ini, persekitarannya bukan lagi mengenai kos atau kecekapan lebih rendah, sebaliknya inovasi, teknologi, harta intelek dan bakat,” katanya.

Sehubungan itu, Wong menegaskan PKS tempatan perlu mendapatkan keupayaan dalam bidang baharu seperti pengkomputeran berprestasi tinggi, pembungkusan termaju, fotonik dan integrasi heterogen agar kekal berdaya saing seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi semikonduktor.

Kerjasama dengan syarikat teknologi asing, katanya, akan memberi kelebihan kepada firma Malaysia bagi mendapatkan akses kepakaran yang belum ada di peringkat tempatan memandangkan syarikat-syarikat dari China, Eropah serta pasaran lain meneroka peluang pelaburan dan kerjasama rantaian bekalan di Malaysia.

Dalam pada itu, Suzaizi berkata berkata aspek pengurusan mudah tunai dan risiko yang berhemat kini makin penting bagi PKS dalam keadaan kos pembiayaan yang meningkat, pergerakan kadar faedah serta ketidaktentuan kadar pertukaran asing.

Beliau berkata kalangan perniagaan perlu mengurus tempoh pinjaman dan aliran tunai dengan teliti di samping mempertimbangkan instrumen lindung nilai yang sesuai bagi mengurangkan risiko kadar pertukaran asing dan kadar faedah.

“Mudah tunai kekal penting dalam sistem, tetapi perniagaan yang perlu menguruskannya pada tahap optimum. Sebarang turun naik dalam kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit boleh memberi kesan kepada aliran tunai,” katanya.

-- BERNAMA