BERITA TERKINI   PM tiba di Kazan pada 10.20 malam waktu tempatan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia | 

Uzbekistan Kukuh Kawal Selia Kewangan Islam Dengan Bantuan Universiti INCEIF

Oleh Siti Radziah Hamzah

TASHKENT, 16 Jun (Bernama) -- Uzbekistan sedang mengukuhkan rangka kerja kawal selia kewangan Islamnya dengan bantuan pakar dari Universiti INCEIF Malaysia dalam bidang seperti sekuriti sukuk, pelesenan kewangan Islam, tadbir urus Syariah dan ekosistem kawal selia yang komprehensif sebagai sebahagian daripada peringkat ketiga pembangunan industrinya.

Timbalan Pengerusi Bank Pusat Uzbekistan Sanjar Nosirov berkata perlaksanaan kewangan Islam di negara itu dibuat dalam tiga peringkat. 

Pada fasa awal, organisasi kewangan mikro bukan kerajaan dibenarkan menawarkan perkhidmatan kewangan Islam, dengan 12 institusi kini beroperasi dalam segmen tersebut.

Beliau berkata jumlah perkhidmatan mereka meningkat lima kali ganda sejak lima tahun lalu, mencecah ke paras US$22 juta. (US$1=RM4.07)

Nosirov bercakap semasa sesi panel bertajuk "Pasaran Kewangan dan Sukuk Islam: Menyalurkan Modal Teluk Ke Ekonomi Membangun" di Forum Pelaburan Antarabangsa Tashkent (TIIF) 2026 di sini hari ini.

Menurut Nosirov, peringkat kedua dan paling kritikal melibatkan penggunaan undang-undang perbankan Islam yang berdedikasi, yang akan membolehkan penubuhan bank Islam sepenuhnya dan pengenalan ruang Islam dalam bank konvensional.

Undang-undang itu mewakili momentum bersejarah dalam pembangunan sistem kewangan Uzbekistan, yang mana beliau menjelaskan bahawa ia memperkenalkan lesen perbankan Islam baharu dan mewujudkan model dwi perbankan.

Uzbekistan secara rasmi menghalalkan perbankan Islam dengan menerima pakai undang-undang itu pada Mac 2026, yang dijadualkan berkuat kuasa menjelang 29 Jun tahun ini.

Edisi kelima TIIF berlangsung dari 16 hingga 19 Jun dengan tema "Ketahanan Pelaburan: Sempadan Baharu, Perkongsian Baharu".

Forum ini menampilkan pameran industri berskala besar yang melibatkan lebih 100 pengeluar domestik, di samping pelbagai mesyuarat perniagaan-ke-perniagaan dan perniagaan-ke-kerajaan.

Pada 2025, forum itu telah menarik lebih 8,000 peserta, termasuk 3,000 delegasi asing dari lebih 100 negara.

-- BERNAMA