BERITA TERKINI   PRN: Beri mandat kepada PH Negeri Sembilan, Aminuddin jadi Menteri Besar supaya masa depan lebih terjamin - PM Anwar | Saya tak pernah anggap UMNO musuh dalam Kerajaan Perpaduan - PM Anwar | 

GWM Malaysia Yakin kekal Momentum Pertumbuhan Dua Angka Menjelang Akhir 2026

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

​​​​​KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- GWM Malaysia menyasarkan pertumbuhan jualan dua angka menjelang akhir 2026 berikutan prestasi kukuhnya pada tahun lepas apabila jualan melonjak sebanyak 117 peratus kepada hampir 5,900 unit daripada 2,128 unit pada 2024.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia Roslan Abdullah berkata syarikat itu kekal optimis untuk mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh pelancaran model baharu yang akan datang dan minat pengguna yang semakin meningkat terhadap rangkaian kenderaannya.

“Kami sememangnya berharap mampu mencapainya. Dengan pelancaran produk baharu yang akan diperkenalkan, kami menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan dua angka, insya-Allah,” katanya kepada Bernama pada Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 di sini.

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya, pada 11 Jun, GWM Malaysia memperkenalkan dua model kenderaan elektrik baharu di KLIMS 2026 iaitu crossover urban kompak ORA 5 HEV dan kenderaan utiliti sukan (SUV) HAVAL H7 Hi4 PHEV sekali gus memperluas tawaran kenderaan hibrid dan hibrid plug-in syarikat itu di Malaysia.

Roslan berkata ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV pada masa ini dipamerkan di KLIMS 2026 manakala harga, tarikh jualan dan spesifikasi akhir akan diumumkan selepas dimuktamadkan.

Bermula 12 Jun hingga 21 Jun, pengunjung boleh merasai sendiri ekosistem mobiliti GWM yang lengkap di KLIMS 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dengan syarikat itu mempamerkan produk dan teknologi terkininya.

Selain pengembangan produk, Roslan berkata GWM Malaysia berperanan sebagai tonggak utama strategi Asia Tenggara syarikat, dengan penyetempatan kekal sebagai tumpuan utama di bawah pendekatan "Go with Local, Grow with Malaysia."

Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen GWM untuk mengukuhkan kehadirannya di Malaysia sambil menyokong pembangunan ekosistem automotif tempatan.

Menurutnya syarikat itu berhasrat untuk mengukuhkan lagi usaha penyetempatan dan menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport bagi beberapa model pemanduan sebelah kanan di rantau ini.

“Malaysia kekal sebagai pasaran penting dalam strategi pembangunan serantau GWM. Eksport model pemasangan tempatan WEY G9 Hi4 PHEV ke Thailand mencerminkan sumbangan Malaysia yang semakin meningkat kepada operasi serantau GWM.

“Seiring dengan pengembangan pemasangan tempatan, rangkaian pengedaran dan inisiatif teknologi kami, kami akan terus meneroka peluang untuk memperkukuh peranan Malaysia untuk menyokong pertumbuhan serantau,” katanya.

Roslan berkata kelebihan daya saing GWM terletak pada nilai yang ditawarkan serta teknologi proprietarinya, dengan banyak inovasi dan komponen utama dibangunkan sendiri oleh syarikat itu.

Beliau berkata teknologi Hybrid Intelligent 4WD (Hi4) adalah antara komitmen GWM terhadap inovasi dan keupayaan teknologi kendiri.

Menurutnya sistem Hi4 dibangunkan untuk menawarkan manfaat prestasi sistem hibrid pacuan empat roda dan pada masa sama mengurangkan kos dengan ketara berbanding sistem pacuan empat roda konvensional.

“Kami bekerjasama dengan pelbagai rakan teknologi, namun kami menambah baik dan menyesuaikan teknologi itu supaya ini menjadi sebahagian daripada ekosistem GWM.

"Langkah ini membolehkan kami mengekalkan kawalan ke atas kualiti, harga dan kos sambil memastikan pengguna menerima teknologi terbaik yang tersedia," katanya.

 

 

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026

Mengulas mengenai pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) baru-baru ini, Roslan berkata peruntukan baharu itu dijangka memberi lebih fleksibiliti dan ketelusan kepada pengguna dalam menguruskan pembiayaan dan penyelesaian kenderaan mereka.

Beliau berkata pindaan itu berpotensi menyumbang secara positif kepada pengalaman menyeluruh pemilikan kenderaan dengan memudahkan pengguna menilai pilihan penggantian atau naik taraf kenderaan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan mereka.

Daripada perspektif industri, Roslan berkata GWM Malaysia terus menyokong inisiatif yang dapat memperkukuh ekosistem automotif dan terus memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan yang positif di setiap peringkat pemilikan termasuk pembelian kenderaan, akses kepada pembiayaan, perkhidmatan selepas jualan dan keyakinan pelanggan untuk memiliki kenderaan dalam jangka panjang.

-- BERNAMA