BERITA TERKINI   Presiden dan CEO Kumpulan Malaysia Aviation Group Kapten Nasaruddin A. Bakar dilantik sebagai ahli lembaga gabenor IATA  | Pemimpin agama perlu tangani keperluan golongan muda berdepan ancaman maklumat palsu didorong oleh AI - Sultan Perak | Keamanan dinikmati Malaysia kini membuktikan toleransi, keharmonian antara agama boleh dicapai - PM Anwar | Islam adalah agama Persekutuan, perlu pastikan setiap warganegara berasa selamat, dilindungi dan dihormati sama rata - PM Anwar | Pemimpin agama kekal relevan sebagai suara hati nurani, kewarasan dan toleransi dalam dunia pascanormal - PM Anwar | 

Rakuten Trade Semak Turun Sasaran FBM KLCI 2026 Kepada 1,770 Susulan Ketidaktentuan Pasaran

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Rakuten Trade menyemak semula sasaran 2026 bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,770 daripada 1,800 sebelum ini berikutan ketidaktentuan pasaran yang berterusan.

Ketua Penyelidikannya Kenny Yee berkata perkembangan politik sejak akhir-akhir ini boleh meningkatkan lagi ketidaktentuan pasaran seperti yang diperlihatkan oleh aliran keluar bersih dana asing pada Mei tahun ini.

"Tumpuan juga akan diberikan kepada pilihan raya negeri yang akan datang di Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang," katanya pada taklimat media secara maya mengenai tinjauan pasaran bagi suku ketiga 2026 hari ini.

Yee berkata pengembangan FBM KLCI dijangka tidak memberi kesan yang ketara kepada saham perbankan walaupun berpotensi meningkatkan kepelbagaian sektor dengan membolehkan lebih banyak syarikat teknologi memasuki indeks penanda aras itu.

Beliau berkata simulasi menunjukkan bahawa pengaruh sektor perbankan dalam indeks itu hanya akan berkurangan sedikit susulan cadangan untuk menambah bilangan saham konstituen.

“Saya berpendapat wajaran sektor akan berkurangan sebanyak dua hingga tiga peratus daripada paras semasa iaitu 33 peratus kepada 30 atau 31 peratus. Oleh itu, kesan daripada pengembangan ini masih belum ketara,” katanya.

“Aspek positifnya adalah kita akan melihat lebih banyak sektor baharu terutama sektor teknologi, dan saya berpendapat beberapa syarikat teknologi yang layak dimasukkkan dalam KLCI apabila cadangan itu dimuktamadkan,” katanya.

Mengenai prestasi ringgit, Yee menjangka mata wang tempatan akan bergerak sekitar paras 3.80-3.90 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, disokong oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah.

Beliau optimis bahawa Malaysia akan kekal berdaya tahan berbanding beberapa negara serantau dalam persekitaran kadar faedah global dan dinamik mata wang yang berubah-ubah.

“Saya berpendapat bahawa Malaysia dalam keadaan stabil,” katanya sambil memaklumkan penyusutan ringgit baru-baru ini dijangka didorong oleh data pasaran buruh AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, yang telah mengukuhkan nilai dolar AS dalam jangka pendek.

Sementara itu, Yee berkata penurunan harga emas baru-baru ini didorong oleh aktiviti pengambilan untung oleh pelabur walaupun beliau menjangkakan harga emas kekal stabil.

Menurutnya trend kenaikan yang lebih kukuh dijangka berlaku apabila pelabur mula menjual pegangan aset yang didenominasikan dalam dolar AS.

Mengenai komoditi, beliau berkata ketidakpastian yang mereda di Asia Barat berupaya memberikan sokongan kepada harga terutama minyak sawit mentah.

-- BERNAMA