BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman Data IHP AS

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, apabila sentimen pasaran masih berhati-hati menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Mei.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.0670/0715 berbanding dolar AS daripada 4.0580/0630 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data IHP AS yang akan dikeluarkan malam ini akan dipantau rapat, dengan konsensus menjangkakan peningkatan 4.2 peratus pada Mei, lebih tinggi daripada sasaran dua peratus yang ditetapkan Rizab Persekutuan AS (Fed).

“Ringgit stabil kebanyakannya pada sekitar paras RM4.06. Perkembangan serantau khususnya peningkatan kadar faedah oleh Bank Indonesia yang tidak dijangkakan (pada Selasa) sedikit sebanyak menjejaskan sentimen pasaran.

“Dalam masa sama, pasaran buruh AS yang kukuh menandakan kemungkinan Fed menaikkan kadar faedahnya. Situasi semasa lebih memihak kepada dolar AS, justeru menyebabkan ringgit rendah,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata bagaimanapun, kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) terkini berjumlah US$130.6 bilion menunjukkan permintaan terhadap ringgit masih kekal baik.

Pada akhir dagangan, ringgit mencatatkan prestasi rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.5347/5377 daripada 2.5332/5365 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding pound British kepada 5.4486/4546 daripada 5.4329/4395.

Unit tempatan juga kurang stabil berbanding euro kepada 4.7006/7058 daripada 4.6915/6972.

Ringgit juga rendah berbanding mata wang negara serantau ASEAN.

Mata wang domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1591/1628 daripada 3.1563/1604 ketika ditutup Selasa dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.3688/3871 daripada 12.3531/3732.

Ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.59/6.60 serta turun berbanding rupiah Indonesia kepada 226.6/227 daripada 224.7/225.1.

-- BERNAMA