BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Sokongan Jepun Penting Untuk Malaysia Teroka Teknologi Termaju - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Sokongan kerajaan dan industri Jepun penting untuk membantu Malaysia membangunkan keupayaan dalam teknologi termaju terutama semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan pembungkusan termaju, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata negara sedang menyusun strategi untuk tidak hanya bergantung kepada sektor pertumbuhan tradisional, dengan memanfaatkan pendigitalan, AI dan teknologi baharu di samping memperkukuh peranannya sebagai hab semikonduktor serantau.

“(Bagi) semikonduktor, kita lebih bertuah memandangkan pada masa ini, Malaysia telah menjadi hab semikonduktor di rantau ini, bukan sahaja (untuk) produk bernilai rendah malah lebih banyak (produk) bernilai tinggi.

“Kita bercakap mengenai pembungkusan dan pembungkusan termaju dan di sinilah kerjasama dengan industri Jepun dan sokongan daripada kerajaan Jepun adalah penting,” kata beliau pada sesi soal jawab selepas ucaptama beliau di Forum Nikkei di Tokyo, Jepun hari ini.

Sesi itu disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan media sosial.

Malaysia turut memberi tumpuan untuk membangunkan keupayaan dalam teknologi kuantum, kata Anwar sambil memaklumkan Malaysia sedang belajar daripada negara atau syarikat di luar negara yang lebih maju dalam bidang itu.

Selain teknologi, beliau berkata peralihan tenaga akan menjadi pemacu utama kepada fasa pertumbuhan Malaysia yang seterusnya, disokong oleh kekuatan sedia ada negara ini dalam sektor tenaga.

“Kita bernasib baik kerana mempunyai Petronas (Petroliam Nasional Bhd). Kemudian kita mempunyai gagasan mengenai Grid (Tenaga) ASEAN yang telah giat saya promosikan, dan disokong oleh kerajaan Vietnam, Laos dan kini Singapura, dan kita juga sedang bekerjasama dengan Sarawak,” kata Perdana Menteri.

Walaupun bidang ini adalah bidang baharu, beliau berkata teknologi lama masih boleh berkembang melalui beberapa peringkat pertumbuhan.

Anwar berkata Malaysia akan terus mengekalkan enjin pertumbuhan tradisionalnya dan pada masa sama meneruskan bidang dan disiplin baharu untuk mempercepat transformasi ekonomi dan mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Beliau turut menekankan bahawa kestabilan politik, institusi yang kukuh serta hala tuju dasar yang jelas kekal penting untuk menyokong agenda pembangunan jangka panjang negara.

“Tugas kita adalah untuk memastikan pembaharuan dilaksanakan secara berperingkat untuk mengukuhkan dan menguatkan negara. Ini bermakna, dengan kestabilan politik yang kita ada dan bertuah kerana memilikinya, kita perlu mula melaksanakan dasar yang jelas,” katanya.

-- BERNAMA