BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding mata wang utama tetapi menyusut berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen pasaran yang kekal berhati-hati menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) malam ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.0600/0640 berbanding dolar AS daripada 4.0580/0630 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran pertukaran asing dijangka terus berhati-hati menjelang laporan IHP AS yang ditunggu-tunggu.

“Kalangan peniaga bon semakin berharap bahawa Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas tahun ini berdasarkan data pekerjaan yang kukuh dan jangkaan inflasi yang tinggi pada masa hadapan.

“Ini bermakna dolar AS dijangka terus mendapat sokongan yang kuat dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5312/5338 daripada 2.5332/5365 semasa ditutup pada Selasa, menokok berbanding pound Britain kepada 5.4286/4340 daripada 5.4329/4395 dan naik berbanding euro kepada 4.6832/6878 daripada 4.6915/6972.

Unit tempatan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1536/1570 daripada 3.1563/1604 semalam dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.3239/3432 daripada 12.3531/3732.

Bagaimanapun ringgit rendah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 224.8/225.1 daripada 224.7/225.1 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.59/6.60 seperti ketika ditutup sebelum ini.

-- BERNAMA