Bursa Malaysia Seiring Pasaran Global Dibuka Rendah
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, seiring dengan pasaran serantau berikutan sentimen kekal berhati-hati dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
Pada 9.19 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 16.23 mata atau 0.95 peratus kepada 1,677.20 daripada 1,693.43 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka rendah 9.89 mata kepada 1,683.54.
Pasaran secara menyeluruh negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 622 berbanding 115 manakala 265 kaunter tidak berubah, 1,673 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 483.18 juta saham bernilai RM283.19 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI melepasi fasa pembetulan singkat apabila ditutup melebihi paras 1,690 pada Jumaat lepas.
“FBM KLCI mengakhiri aliran penurunan yang berlarutan selama seminggu apabila ditutup melepasi paras 1,680 didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah minggu lepas.
“Bagaimanapun, sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan ketegangan yang meningkat di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata walaupun ketidaktentuan di rantau tersebut masih berterusan, harga minyak mentah menyusut dengan minyak mentah Brent menurun kepada kira-kira US$93 setong.
“Kami menjangka indeks akan bergerak dalam julat 1,690 hingga 1,700 mata hari ini,” katanya.
Thong berkata Wall Street ditutup rendah, didorong terutamanya oleh penurunan saham semikonduktor dan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) susulan laporan pekerjaan yang lebih kukuh daripada jangkaan, dijangka menangguhkan penurunan kadar faedah.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun 18 sen kepada RM10.62, Public Bank berkurangan tujuh sen kepada RM4.80, Tenaga Nasional menyusut empat sen kepada RM14.10, CIMB merosot lima sen kepada RM7.34 dan IHH menurun 12 sen kepada RM8.73.
Bagi saham aktif, Zetrix AI berkurangan 1.5 sen kepada 81 sen, Hong Seng menambah setengah sen kepada 1.5 sen, VS Industry merosot setengah sen kepada 20.5 sen, AirAsia X menyusut 20 sen kepada RM1.11 dan Capital A menurun 41 sen.
Kaunter paling untung ialah EITA menambah lapan sen kepada 55 sen, TMK Chemical dan PJBumi, masing-masing meningkat lima sen kepada RM2.15 dan RM3.30.
Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries merosot RM1.76 sen kepada RM45.04, Nestle menurun RM1.26 kepada RM93.02, Petronas Dagangan berkurangan 50 sen kepada RM18.74 dan Allianz menyusut 38 sen kepada RM20.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menurun 12.7.85 mata kepada 12,474.21, Indeks FBM Top 100 berkurangan 135.24 mata kepada 12,306.66 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 123.17 mata kepada 12,446.98.
Indeks FBM Mid 70 menurun 266.93 mata kepada 18,032.66 dan Indeks FBM ACE berkurangan 73.43 mata kepada 4,659.81.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 191.99 mata kepada 19,592.32, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 1.4 mata kepada 197.34, Indeks Tenaga berkurangan 3.89 mata kepada 792.31 dan Indeks Perladangan menyusut 11.01 mata kepada 8,660.53.
-- BERNAMA