Niaga Hadapan Emas Dijangka Pada US$4,400 Hingga US$4,500 Minggu Depan
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat US$4,400 hingga US$4,500 bagi setiap auns troy pada minggu depan.
Keadaan itu didorong oleh permintaan terhadap aset selamat itu susulan ketidaktentuan berkaitan unjuran kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama faktor lain seperti pasaran tenaga kerja AS yang berdaya tahan selain jangkaan peningkatan inflasi, juga berkemungkinan menyaksikan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan pendirian monetari yang ketat apabila bermesyuarat pada 16-17 Jun ini.
Prospek sedemikian akan menjadikan pelabur lebih berhati-hati selain menyokong emas sebagai aset yang lebih selamat.
Bagi perbandingan minggu ke minggu, kontrak Jun 2026 susut kepada US$4,484.50 setiap auns troy daripada US$4,553.30 pada penutupan minggu lepas; Julai 2026 turun kepada US$4,499.20 setiap auns troy daripada US$4,567.00 manakala Ogos 2026 berkurangan kepada US$4,513.90 setiap auns troy daripada US$4,567.00.
September 2026 juga susut kepada kepada US$4,518.40 setiap auns troy daripada US$4,567.00 dan Oktober 2026 turun kepada US$4,522.90 setiap auns troy daripada US$4,567.00 sebelum ini.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 39 lot daripada 66 lot manakala kepentingan terbuka susut kepada 60 kontrak daripada 98 kontrak, seminggu lepas.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,496.95 setiap auns troy mengikut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 4 Jun, 2026.
-- BERNAMA