BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Harga Minyak Soya Lemah Asak Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) susut pada akhir dagangan hari ini, diasak oleh kelemahan harga minyak kacang soya dan penurunan prestasi eksport.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata angka eksport terkini menunjukkan penyusutan permintaan minyak sawit Malaysia yang turut memberi impak terhadap sentimen pasaran.

Beliau berkata jurunilai bebas Intertek Testing Services (ITS) menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-31 Mei, 2026, pada 1.28 juta tan atau susut 8.81 peratus manakala unjuran AmSpec pada 1.14 juta tan atau turun 15.45 peratus daripada anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1-30 April, 2026.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan paras sokongan berada pada RM4,500 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,700 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sewaktu dagangan ditutup hari ini, kontrak MSM bagi bulan semasa Jun 2026 susut RM74 kepada RM4,531 satu tan, Julai 2026 turun RM72 kepada RM4,566 satu tan manakala Ogos 2026 dan September 2026 masing-masing merosot RM76 kepada RM4,601 dan RM4,629 satu tan.

Selain itu, Oktober 2026 turun RM77 kepada RM4,657 satu tan manakala November 2026 pula berkurangan sebanyak RM75 kepada RM4,686 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 95,888 lot daripada 104,077 lot semalam dan kepentingan terbuka meningkat kepada 298,582 kontrak daripada 289,868 kontrak sebelum ini.

Dalam pada itu, harga fizikal MSM bagi Jun Selatan merosot RM90 kepada RM4,550 satu tan.

-- BERNAMA