Untung Bersih Sunway Melonjak Kepada RM9.41 Bilion Bagi Suku Pertama

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Sunway Bhd melonjak kepada RM9.41 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2026 daripada RM190.55 juta pada suku sama tahun kewangan 2025.

Sunway yang mempunyai pelbagai perniagaan itu menjelaskan peningkatan keuntungan yang ketara itu didorong terutama oleh keuntungan bersih RM9.09 bilion daripada penilaian semula pelaburan dalam Sunway Healthcare Holdings Bhd (SHH) kepada nilai saksama selepas penyenaraian dan pengelasan semulanya sebagai subsidiari.

“Tidak termasuk keuntungan bersih SHH, keuntungan asas sebelum cukai yang dicatatkan Sunway adalah sebanyak RM462.4 juta, mewakili lonjakan kira-kira 52.1 peratus  daripada angka pada suku sama tahun kewangan sebelumnya,” menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sunway memaklumkan perolehan pula meningkat lapan peratus tahun ke tahun kepada RM2.55 bilion daripada RM2.36 bilion disumbangkan oleh prestasi lebih kukuh daripada kebanyakan segmen perniagaan.

Perolehan segmen pembangunan hartanah meningkat kepada RM653.6 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 daripada RM263.3 juta ketika suku sama tahun kewangan sebelumnya, tambahnya.

Syarikat tersebut menjelaskan prestasi itu dipacu oleh penjualan sebuah bangunan pendidikan, bil kemajuan lebih tinggi daripada projek di Malaysia serta sumbangan daripada MCL Group yang baharu dibeli.

Sunway menjelaskan segmen pembangunan hartanah melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (NPK) berjumlah RM2.1 bilion dan mencatatkan jualan kukuh bernilai RM1.4 bilion, didorong terutama oleh sambutan memberangsangkan terhadap projek baharu di Singapura, Pinery Residences.

“Permulaan kukuh tahun ini meletakkan segmen ini pada landasan tepat untuk mencapai sasaran pelancaran hartanah tahun kewangan 2026 sebanyak RM4.8 bilion dan sasaran jualan hartanah RM4.2 bilion,” menurutnya.

Segmen pembinaan merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM159.1 juta  manakala perolehan berjumlah RM794.5 juta, disumbangkan oleh pemuktamadan akaun bagi beberapa projek yang telah siap.

Sementara itu, segmen penjagaan kesihatan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh.

Sunway menjelaskan SHH merekodkan peningkatan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 19.0 peratus kepada RM112 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026

Prestasi itu disokong oleh pertumbuhan perolehan yang memberangsangkan serta peningkatan kecekapan operasi susulan pengembangan Pusat Perubatan Sunway Damansara dan Pusat Perubatan Sunway Ipoh.

Presiden Sunway Group, Datuk Anuar Taib berkata dalam melangkah maju, Sunway kekal optimis namun berhati-hati untuk mencatatkan keuntungan stabil pada tahun kewangan ini.

Beliau berkata prospek itu disokong oleh portfolio perniagaan yang berdaya tahan, jualan belum dibil yang positif, kebolehlihatan ketara nilai perolehan kontrak pembinaan serta strategi pengembangan yang berdisiplin.

-- BERNAMA