Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Bercampur-campur

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Isnin, seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas oleh harga minyak mentah yang lebih rendah dan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah dalam jangkaan prospek bekalan yang lebih baik di negara-negara pengeluar utama seperti Thailand dan Indonesia.

“Niaga hadapan getah Jepun merosot pada Isnin, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih rendah dalam optimisme terhadap potensi perjanjian damai AS-Iran.

“Harga minyak mencecah paras terendah dalam tempoh dua minggu pada Isnin dengan harapan terhadap potensi perjanjian damai AS-Iran walaupun terdapat ketegangan berterusan melibatkan Selat Hormuz,” katanya.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent menurun 4.8 peratus kepada US$98.57 setong.

Sementara itu, katanya sentimen pasaran turut terjejas oleh ringgit yang lebih tinggi berbanding dolar AS.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9635/9705 berbanding dolar AS daripada 3.9655/9700 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh sentimen pasaran yang lebih baik dalam keyakinan terhadap potensi rundingan damai AS-Iran,” katanya.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 1.5 sen kepada 890.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menurun dua sen kepada 763 sen sekilogram.

-- BERNAMA