Perdagangan Malaysia Pada April Cecah Rekod RM336.73 Bilion Dipacu Eksport Kukuh E&E - MITI
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun kepada rekod RM336.73 bilion pada April 2026, dipacu terutamanya oleh eksport kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E), menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam satu kenyataan hari ini, MITI memaklumkan perdagangan Malaysia mengekalkan momentum kukuh pada April 2026 meskipun ketidaktentuan global yang kian meningkat, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan kos logistik lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan turun naik harga komoditi menyaksikan eksport dan import merekodkan nilai bulanan tertinggi.
MITI, kementerian yang menyelia Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), menyatakan eksport meneruskan momentum pertumbuhan untuk bulan ke-10 berturut-turut, melonjak 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion.
Ia mengatasi paras tertinggi sebelum ini sebanyak RM152.77 bilion yang dicatatkan pada Disember 2025 dengan perbezaan RM30 bilion, manakala import berkembang 20 peratus kepada RM153.99 bilion.
MITI turut menyatakan ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM28.75 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan bagi bulan ke-72 berturut-turut sejak Mei 2020.
"Pertumbuhan dalam eksport dipacu oleh pengembangan dua digit bagi produk eksport utama, diterajui oleh produk E&E yang meningkat sebanyak RM28 bilion ke paras tertinggi baharu, disokong oleh permintaan kukuh daripada barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan elektronik automotif.
"Pengembangan eksport itu turut diperkukuh oleh peningkatan luar biasa dalam eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, peralatan optik dan saintifik, serta jentera, kelengkapan dan peralatan ganti," tambahnya.
MITI menambah eksport barangan optik dan saintifik, serta jentera, kelengkapan dan peralatan ganti, merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Kementerian itu menyatakan eksport ke semua rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit, dengan eksport ke ASEAN, Taiwan dan EU mencecah paras tertinggi setakat ini.
"Rangkaian luas Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia terus memudahcara akses pasaran dan mempelbagaikan destinasi eksport negara.
"Dengan memanfaatkan perjanjian ini, eksport ke rakan dagang FTA seperti Hong Kong, Korea Selatan, Australia, India dan Turkiye terus berkembang, mencecah paras tertinggi baharu hasil permintaan kukuh yang merentasi pelbagai jenis barangan," tambah MITI.
Bagi tempoh Januari–April 2026, MITI menyatakan perdagangan Malaysia melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan, lebih awal sebulan berbanding tahun sebelumnya.
Perdagangan meningkat 15.3 peratus kepada RM1.127 trilion berbanding tempoh yang sama pada 2025, didorong oleh eksport yang menokok 19.0 peratus kepada RM609.31 bilion serta kenaikan import 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion.
"Sehubungan itu, lebihan dagangan meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada RM91.92 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan paras tertinggi bagi tempoh ini," tambahnya.
MITI memaklumkan di sebalik perkembangan positif ini, kementerian itu dan MATRADE akan terus memantau rapat perkembangan perdagangan global dan kekal proaktif dalam memperkukuh daya tahan perdagangan Malaysia untuk memastikan momentum pertumbuhan dapat diteruskan.
-- BERNAMA