BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Berjaya Air Sasar Dua Pesawat ATR 72-600 Highline Baharu Dengan Belanja Modal Tahunan RM70 Juta

SUBANG JAYA, 20 Mei (Bernama) -- Berjaya Air Sdn Bhd menyasar untuk memiliki dua pesawat ATR 72-600 Highline baharu menjelang akhir tahun ini, dengan perbelanjaan modal tahunan sebanyak RM70 juta.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Berjaya Aviation Group, Datuk Chester Voo berkata pihaknya kini memiliki sebuah pesawat yang sedang beroperasi, manakala pesawat kedua dijangka tiba menjelang Oktober tahun ini.

“Pesawat ini akan digunakan untuk penerbangan semasa musim (perayaan) seperti Aidilfitri, Aidiladha dan musim puncak lain. Sebagai contoh, kami boleh mengendalikan penerbangan sewa khas tidak berjadual ke Kota Bharu, Alor Setar dan destinasi lain di Semenanjung Malaysia, sekali gus menyediakan penyelesaian perjalanan alternatif .

“Jadi kami menyasarkan kira-kira empat hingga enam penerbangan sehari menggunakan satu pesawat, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada kira-kira 10 penerbangan sehari apabila pesawat kedua diterima,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pesawat kelas perniagaan ATR 72-600 di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun harga minyak meningkat susulan ketidaktentuan geopolitik, namun pihaknya kekal positif terhadap prospek kerana model operasi Berjaya Air menumpukan kepada operasi khusus dan premium, bukannya bersaing secara langsung dengan syarikat penerbangan tradisional.

“Model perniagaan kami bukan berdasarkan penerbangan ke Pulau Pinang sebanyak 10 kali sehari atau Kota Kinabalu sebanyak 13 kali sehari.

“Kami tidak mahu bersaing dengan syarikat penerbangan tradisional. Kami mahu membawa kumpulan khas sebanyak 26 penumpang yang ingin pergi ke sebuah destinasi dengan selesa, tenang dan mengikut jadual mereka sendiri,” katanya.

Pesawat ATR Highline, dilengkapi kabin kelas perniagaan dengan 26 tempat duduk kelas perniagaan sepenuhnya itu mewakili satu kemajuan besar dalam perjalanan udara serantau.

Berjaya Air menjelaskan pelan pengembangan serantau dan usaha meningkatkan kesambungan di seluruh Asia Tenggara akan disokong oleh pesawat tersebut menerusi pengenalan tujuh laluan yang merangkumi dua destinasi sedia ada dan lima laluan baharu meliputi Koh Samui, Phu Quoc, Medan, Pekanbaru dan Batam.

-- BERNAMA