KLIMS 2026 Sasar 200,000 Pengunjung Susulan Pengenalan Elemen Pengalaman Mobiliti, Gaya Hidup
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 menyasarkan kira-kira 200,000 pengunjung tahun ini, susulan pengembangannya melangkaui pameran automotif tradisonal kepada pameran mobiliti, teknologi dan gaya hidup yang lebih meluas.
KLIMS edisi ke-11 yang merupakan anjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan diuruskan oleh Qube Integrated Sdn Bhd (Qube Integrated) itu, bakal diadakan dari 12 hingga 21 Jun di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain berkata KLIMS telah lama mengukuhkan kedudukannya sebagai pameran automotif utama di Malaysia dan terus mencerminkan hala tuju industri itu, bukan hanya pada hari ini.
“Tema ‘Melangkaui Mobiliti’ mencerminkan visi kami mengenai industri yang bukan sahaja mengubah cara kami bergerak, tetapi juga cara kami hidup, berhubung dan membentuk masa depan yang lebih pintar serta mampan,” katanya pada sesi sidang media KLIMS di sini hari ini.
Pengarah Urusan Qube Integrated Richard Teo berkata KLIMS 2026 akan dianjurkan berdasarkan sambutan yang kukuh pada edisi 2024, yang menarik lebih 183,000 pengunjung, dengan jangkaan lebih tinggi untuk pameran tahun ini.
“Bagi KLIMS 2026, kami akan membawanya ke tahap yang baharu, dengan tempoh pameran yang lebih panjang, lebih banyak aktiviti dan menawarkan lebih banyak pengalaman sepanjang acara selama 10 hari itu,” katanya sambil menambah bahawa pameran tersebut menyatukan budaya automotif, teknologi, hiburan dan gaya hidup di satu tempat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Pameran KLIMS Koh Tsi-En berkata acara itu akan menampilkan barisan pameran automotif dan mobiliti yang komprehensif, termasuk penyertaan daripada jenama kereta sedia ada dan baharu, serta pempamer pascapasaran dan penyedia teknologi.
“KLIMS terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pameran automotif dan mobiliti utama di Malaysia, dengan menyatukan inovasi terkini dalam penyelesaian elektrifikasi serta mobiliti pintar.
“Kami juga mengadakan perhimpunan kelab kereta, yang menampilkan lebih 200 kereta dan sudah tentu sesi pandu uji.
“Tahun ini, kami mempunyai lebih 60 kereta yang tersedia untuk dipandu uji,” katanya.
Koh menambah bahawa KLIMS 2026 turut menggabungkan unsur gaya hidup dan hiburan untuk meningkatkan penglibatan pengunjung, termasuk penampilan sulung litar halangan ‘Urban Play’, pertandingan dan persembahan ‘DJ Playground’.
Selain itu, sesi ceramah ringkas bersama pakar industri, pameran kereta konsep dan teknologi, di samping pengalaman perlumbaan dan simulator penerbangan yang mengasyikkan.
Beliau berkata acara itu turut menampilkan pengaktifan sukan permotoran dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang, trek kereta kawalan jauh, Trak Pokemon Pokopia dan Riuh di KLIMS, yang bakal melibatkan persembahan selebriti.
“Kesemua tarikan ini direka untuk meningkatkan penglibatan pengunjung melalui pengalaman secara langsung, sambil mempamerkan hubungan antara mobiliti, teknlogi dan hiburan yang membentuk industri ini hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, KLIMS 2026 akan merangkumi hampir 30,000 meter persegi ruang pameran kasar merentasi tujuh dewan di MITEC.
Jenama automotif yang telah mengesahkan penyertaan termasuk Dongfeng, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Maxus, Mazda, MG Motor, Nissan, Perodua, Proton, Proton e.MAS, smart, Toyota, Wuling, XPENG dan Zeekr.
Pameran itu turut mendapat sokongan rakan strategik iaitu Institut Robotik dan IoT Automotif Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, selain diiktiraf di bawah kempen Meet in Malaysia oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh Tourism Malaysia.
-- BERNAMA