Ranhill Utilities Catat Untung Bersih RM58.39 Juta, Hasil RM612.53 Juta Pada Suku Ketiga 2026
KUALA LUMPUR, 14 May (Bernama) -- Ranhill Utilities Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM58.39 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2026, disokong oleh hasil yang berjumlah RM612.53 juta.
Penyedia penyelesaian tenaga dan alam sekitar mampan itu menyatakan keputusan suku semasa berakhir 31 Mac, 2026 tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan tempoh sebelumnya susulan perubahan tahun akhir kewangannya dari 31 Disember kepada 30 Jun.
"Tiada maklumat kewangan yang boleh dibandingkan bagi penyata pendapatan komprehensif disatukan yang diringkaskan dan tidak diaudit bagi tempoh berakhir 31 Disember, 2025.
"Disebabkan perubahan pada tahun kewangan berakhir dari 31 Disember kepada 30 Jun, penyata pendapatan komprehensif disatukan yang ringkas dan tidak diaudit bagi suku semasa berakhir 31 Mac, 2026, iaitu suku ketiga bagi tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun, 2026 (tahun kewangan 2026), tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana tempoh perbandingan yang dibentangkan sebelum ini," tambahnya.
Sementara itu, kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM72.54 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026, meningkat sebanyak 47.2 peratus berbanding PAT berjumlah RM49.26 juta pada suku sebelumnya berakhir 31 Disember, 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ranhill Utilities menyatakan bagaimanapun hasil menyusut kepada RM612.53 juta atau 3.1 peratus daripada RM632.09 juta pada suku sebelumnya berakhir 31 Disember, 2025.
Mengenai prospek, segmen air kumpulan itu menjangkakan pertumbuhan disokong oleh permintaan penggunaan yang semakin meningkat dan prospek ekonomi yang kukuh, bersama-sama projek pemangkin seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura dan pertumbuhan ketara dalam pembangunan pusat data.
Bagi segmen tenaga, ia sedang meneroka pelbagai peluang untuk mengurangkan jejak karbon dan memajukan inisiatif peralihan tenaga syarikat itu.
Sementara itu, bagi segmen perundingan dan perkhidmatan, kumpulan berkenaan akan memanfaatkan kepakarannya dalam sumber air, rawatan, pengagihan, pengairan dan penyelesaian air tidak berhasil (NRW) untuk merebut peluang projek di seluruh Malaysia.
-- BERNAMA