BERITA TERKINI   Lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada tahun ini - MoF | Kemudahan pembiayaan mikro RM5 bilion yang diumumkan hari ini adalah berasingan daripada Kemudahan Bantuan Khas PKS RM5 bilion oleh BNM serta RM5 bilion di bawah SJPP - MoF | Kerajaan MADANI sedia kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000 - MoF | 

Unit Destini Peroleh Kontrak Pengendalian Tiub TRS Daripada Petronas Carigali

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Anak syarikat Destini Bhd, Destini Oil Services Sdn Bhd (DOS) memperoleh kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi menyediakan perkhidmatan pengendalian tiub TRS.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Destini memaklumkan tempoh kontrak adalah lima tahun bermula 30 Mac 2026 dan berakhir 29 Mac 2031, dengan nilai kontrak berdasarkan arahan pelepasan yang dikeluarkan oleh PCSB sepanjang tempoh kontrak.

“Kontrak itu diperoleh ketika sektor tenaga berdepan tempoh penting. Berikutan pasaran global mengalami ketidaktentuan yang tinggi akibat krisis tenaga yang berterusan di Asia Barat, oleh itu, mengekalkan pengeluaran domestik yang stabil menjadi semakin penting.

"Dengan memperoleh kontrak selama lima tahun ini, Destini memperkukuh peranannya dalam memastikan operasi huluan di Malaysia kekal berdaya tahan," menurutnya.

Menurut Destini pemberian kontrak itu telah meningkatkan nilai perolehan kontrak kumpulan secara ketara sekali gus memberikan gambaran perolehan untuk jangka panjang sehingga 2031.

Destini memaklumkan, dari segi operasi, tempoh lima tahun itu membolehkan DOS mengoptimumkan penggunaan sumber dan memanfaatkan infrastruktur tempatan sedia ada untuk memacu kecekapan kos kepada pelanggan.

-- BERNAMA