UZMA, MARA Muktamad Kerjasama Strategik Bagi Perkasa Industri, Pembangunan Bakat
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Uzma Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mewujudkan platform supaya kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam dua bidang utama iaitu perniagaan dan pembangunan keupayaan.
Kerjasama strategik berkenaan dimuktamadkan melalui pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan sempena Majlis Gala Persada MARA bagi meraikan ulang tahun ke-60 MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
MoU tersebut akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga tahun bermula 3 Mei, 2026 melainkan ia dilanjutkan melalui persetujuan bersama kedua-dua pihak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Uzma Datuk Kamarul Redzuan Muhamed menekankan kepentingan penyelarasan yang lebih teguh di antara industri dengan institusi bagi memastikan pembangunan bakat kekal relevan, praktikal dan sedia mengharungi masa depan.
"Seiring dengan pelaksanaan Pelan Lima Tahun kedua kami, kerjasama seperti ini akan menjadi penting dalam memperkukuh saluran bakat terutamanya melalui latihan yang diselaraskan dengan industri dan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Ia juga menyokong pembangunan vendor dan membina keupayaan jangka panjang dalam industri yang penting bagi negara terutamanya dalam sektor minyak dan gas serta tenaga boleh baharu (TBB)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di bawah kerjasama perniagaan, kedua-dua pihak akan meneroka peluang dalam inisiatif TBB, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa dan pertahanan, penyelesaian kejuruteraan marin untuk sektor minyak dan gas serta peluang pelaburan strategik yang selaras dengan peralihan tenaga dan pembangunan teknologi.
Kamarul Redzuan juga berkata dalam memajukan inisiatif TBB dan peralihan tenaga, cabang tenaga baharu Uzma berada pada kedudukan yang tepat untuk menyokong MARA sebagai rakan strategik dengan keupayaan yang merangkumi kebolehlaksanaan teknikal, penstrukturan komersial dan pengoptimuman prestasi aset jangka panjang.
"Di bawah pembangunan keupayaan, kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh saluran bakat melalui pembangunan dan penyampaian program akademik serta eksekutif melalui Institusi Pendidikan MARA termasuk bidang seperti kepimpinan dan kecerdasan buatan (AI).
"Selain itu, bakat diperkukuh menerusi latihan industri berstruktur dan laluan perantisan," tambahnya.
Ini termasuk mewujudkan peluang bagi graduan MARA terutamanya daripada institusi TVET untuk mendapatkan pendedahan praktikal yang selaras dengan keperluan operasi sebenar selain menyokong pembangunan dan pemerkasaan vendor bumiputera dalam rantaian nilai tenaga serta teknologi yang lebih luas.
-- BERNAMA